Peletakan Jawatan Gabenor BNM Cetus Ketidaktentuan

GABENOR Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim. – Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Peletakan jawatan mengejutkan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) menambah satu lagi ketidaktentuan kepada ekonomi susulan perubahan tidak diduga kerajaan bulan lalu.

Keputusan Tan Sri Muhammad Ibrahim minggu ini menyebabkan BNM tidak mempunyai pemimpin dalam tempoh cabaran politik terbesar negara ini dalam tempoh beberapa dekad dan ketika pembuat dasar di pasaran sedang pesat membangun bergelut dengan perkembangan tidak menentu yang semakin bertambah selain ancaman perang perdagangan global.

Pengganti masih belum dinamakan lagi, namun laporan media tempatan memetik bekas Timbalan Gabenor, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus mungkin akan dilantik.

Pelabur sudah pun berdepan ketidaktentuan dengan bajet selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengikut ikrar kempen dan menghapuskan enam peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), sekali gus memberikan tekanan ke atas pendapatan kerajaan dan mencetuskan kebimbangan penarafan kredit akan diturunkan.

Tinjauan pertumbuhan juga tidak jelas. Pengguna akan mendapat rangsangan sementara daripada langkah percukaian, namun ikrar kerajaan untuk menyemak semula projek pelaburan berskala besar akan memperlahankan perbelanjaan.

Beberapa penganalisis berkata, langkah kerajaan akan menyebabkan bakal Gabenor bank pusat mengubah pendirian dasar monetari.

BNM menaikkan kadar faedah pada Januari dan mengekalkan kos pinjaman sejak itu. Pembuat dasar akan bertemu sekali lagi bulan depan.

“Pandangan kami adalah lebih banyak isyarat penurunan berhubung dasar kadar faedah memandangkan landskap politik terus diselubungi ketidaktentuan dalam beberapa bulan akan datang,” kata Ketua Ahli Strategi Perbendaharaan CIMB Bank, Ray Choy.

“Mengambil kira semua, semakan projek mega dan GST sifar akan merendahkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan inflasi, yang akan menyebabkan kadar faedah diturunkan.

Penganalisis lain lebih optimis dan meramalkan kesinambungan dalam salah satu institusi paling dihormati di negara ini.

“Sebab mengapa Gabenor meletakkan jawatan bukanlah satu malapetaka kerana peninggalannya tidak akan membahayakan dasar BNM,” kata Ketua Ekonomi dan Strategi Makro Mizuho Bank Ltd di Singapura, Vishnu Varathan.

Malaysia ketika ini mencatatkan prestasi lebih baik berbanding negara Asia serantau, dengan mata wangnya menokok 1.8 peratus berbanding dolar tahun ini, namun paras hutang yang tinggi menjadikannya agak rapuh.

Kerajaan menerima peletakan jawatan Muhammad, yang dikatakannya adalah bagi melindungi imej dan reputasi bank pusat itu.

Persoalan berbangkit mengenai pembelian tanah oleh bank pusat daripada pentadbiran terdahulu dan penggunaan hasil jualan untuk membayar balik hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dibelenggu skandal.

Pada lewat 2016, Muhammad melaksanakan had ke atas sebahagian dagangan tukaran asing yang mengundang kritikan daripada pedagang mata wang dan menyebabkan ringgit yerus menjunam.

Sekatan mengejut ke atas kebenaran pelabur asing melindung nilai menjejaskan sentimen ke atas pasaran bon kerajaan dan menyebabkan pulangan meningkat.

-Bloomberg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.