Polis Kesan Bapa Pukul Anak

SEREMBAN: Berang panggilan telefonnya tidak berjawab, seorang bapa bertindak memukul anak lelakinya yang berusia sembilan tahun di rumah mereka di Taman Kaloi, Mambau, di sini, semalam.

Perbuatan itu dilakukan lelaki berusia 36 tahun terbabit selepas dia pulang daripada bekerja, jam 6.50 petang.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, suspek memarahi anak lelakinya kerana tidak menjawab panggilan telefon dan memukul anaknya itu di bahagian tangan.

“Isteri suspek yang berusia 33 tahun menyedari perbuatan suaminya itu cuba menghalang, namun dia turut dipukul dengan selipar di bahagian paha dan tangan.

“Perbuatan suami yang terus memukul anak mereka menyebabkan wanita itu mengambil telefon bimbit dan merakam perbuatan suaminya.

“Selepas kejadian, mangsa bersama anak lelaki keluar rumah dan ke rumah ibunya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Thiew berkata, wanita berkenaan menghantar video perbuatan suaminya memukul anak kepada seorang rakan berusia 28 tahun dan meminta rakannya itu memuat naik ke Facebook sebelum ia tular.

Katanya, suspek yang mengetahui video berkenaan tular bertindak mengugut mahu mencederakan rakan isterinya jika tidak memadamkan video itu.

“Berikutan itu, isteri suspek membuat laporan polis pada jam 1.40 pagi tadi dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323, Seksyen 326A dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu yang dikenali V Jenarthanan supaya menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Adi Khusaini Saripudin di talian 06-6033222/3268 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.