Harga kereta Proton dijangka naik sehingga RM3,000

SUBANG JAYA: PROTON Edar Sdn Bhd menjangkakan harga kenderaannya meningkat sekitar RM1,500 hingga RM3,000 pasca cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Rashid Musa, berkata jumlah anggaran peningkatan itu adalah berdasarkan pengurangan harga ketika pasca peralihan sistem pencukaian SST kepada cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebelum ini.

“Kita menjangkakan harga kenderaan Proton akan meningkat selepas pelaksanaan SST, cuma angka tepat belum dapat dipastikan memandangkan kerajaan belum lagi mengumumkan mekanisme cukai ini.

“Secara umumnya, kebarangkalian besar harga akan meningkat berdasarkan sistem pencukaian sebelum ini.

“Daripada pengiraan kami, jika SST pada kadar 10 peratus, harga akan meningkat sekitar RM3,000 hingga RM10,000 daripada kadar sifar GST sekarang,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian hadiah cabaran Wealth of Wheels (WOW) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Operasi Grab Malaysia, Rashid Shukor.

Abdul Rashid berkata, berdasarkan jangkaan peningkatan harga itu, PROTON Edar meminta pengguna memanfaatkan tempoh ‘cuti cukai’ yang berbaki kurang sebulan lagi untuk memiliki kenderaan.

Katanya, semua kenderaan Proton masih boleh di tempah ketika ini memandangkan stok masih mencukupi untuk memenuhi permintaan dalam tempoh peralihan sistem percukaian itu.

“Meskipun stok mencukupi, saya menasihati pelanggan untuk tidak terlalu memilih warna atau varian bagi mengelakkan masalah sehingga menyebabkan tempahan diserahkan selepas pelaksanaan SST.

“Ini peluang terbaik untuk memiliki kereta Proton pada harga yang lebih rendah dengan penjimatan RM2,000 hingga RM6,000,” katanya.

Beliau turut menjangkakan jualan kenderaan Proton pada Ogos lebih tinggi berbanding 8,102 unit bulan lalu.

“Jualan Proton pada Julai adalah tertinggi dalam tempoh 30 bulan. Bagi Ogos kita harapkan ia lebih baik sempena bulan terakhir cuti cukai,” katanya.

Sementara itu, lapan daripada 2,181 pemandu perkhidmatan e-panggilan, Grab menyertai kumpulan finale cabaran WOW.

Dipecahkan kepada tiga kategori iaitu kereta Proton Iriz, Saga dan Persona, setiap seorang pemenang membawa pulang baucar RM6,888.

WOW adalah program hasil kerjasama PROTON dan Grab Malaysia bagi memberi cabaran kepada pemandu perkhidmatan itu untuk menamatkan cabaran berdasarkan penggunaan bahan api dan perbatuan tertinggi.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.