Irwan nafi dana amanah pembayaran balik GST hilang, dirompak

PUTRAJAYA: Tiada wang yang hilang dalam dana amanah pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana semua kutipan daripada sistem percukaian itu perlu dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan.

Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata mengikut Akta Prosedur Kewangan 1957, setiap hasil yang dikutip kerajaan termasuk GST, cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dividen daripada PETRONAS dan Bank Negara Malaysia (BNM) serta hasil lain mesti dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan.

Beliau berkata, segala pengurusan keluar dan masuk hasil kewangan dan bayarannya diuruskan Jabatan Akauntan Negara yang mana diaudit setiap tahun dan laporan turut dibentangkan di Parlimen.

Katanya, dari segi prosedur, keperluan wang untuk dimasukkan ke dalam tabung dana amanah pembayaran balik GST hanya dibuat selepas Mesyuarat Pengurusan Aliran Tunai Kerajaan yang diadakan setiap bulan.

“Mesyuarat ini akan membincangkan secara terperinci kedudukan kutipan hasil berbanding yang disasarkan dan kedudukan perbelanjaan sama ada perbelanjaan mengurus atau pembangunan.

“Dalam mesyuarat ini juga, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan membentangkan keperluan dana untuk membuat bayaran balik dan jumlah tunggakan yang perlu dibayar. Mengikut keperluan mereka dan kedudukan hasil kerajaan, mesyuarat akan membuat keputusan berapa jumlah peruntukan untuk disalurkan kepada dana amanah ini daripada Kumpulan Wang Disatukan.

“Bagi pihak JKDM untuk 2017, jumlah bayaran balik tuntutan yang dibuat berjumlah RM23 bilion iaitu lebih 34 peratus daripada jumlah pungutan GST. Tunggakan bayaran pula difahamkan sebanyak RM15 bilion lagi bagi tahun itu yang memerlukan verifikasi (pengesahan), siasatan dan proses pengauditan,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Mohd Irwan berkata, sekiranya RM23 bilion dan RM15 bilion itu dicampur, ia adalah hampir 58 peratus daripada jumlah kasar kutipan GST sebanyak RM67 bilion bagi 2017.

“Angka tuntutan bayaran balik sebanyak 58 peratus ini adalah terlalu besar untuk tempoh setahun yang memerlukan pengauditan dijalankan.

“Kalau tuntutan adalah jelas dan tiada penipuan, bayaran akan dibuat Kastam (JKDM) dalam tempoh 14 hari. Namun sekiranya terdapat keraguan dan tuntutan palsu yang memerlukan siasatan dan pengauditan lanjut, maka ia akan memakan masa lebih lama (untuk bayaran tuntutan dapat dibuat),” katanya.

Beliau berkata, jelas bahawa tidak berlaku sebarang ‘kehilangan’ wang daripada dana amanah itu kerana Perbendaharaan memperuntukkan wang untuk bayaran balik tuntuan GST itu mengikut keperluan JKDM dan berdasarkan kedudukan kewangan negara.

“Maklumat mengenai perkara ini saya percaya boleh didapati daripada Jabatan Akauntan Negara dan Bahagian Fiskal Kementerian Kewangan.

“Setiap sen (kutipan hasil) dikira, ia adalah duit rakyat, lebih penting ia berada dalam Kumpulan Wang Disatukan, kemudian bila diperlukan, ia akan dikeluarkan,” katanya.

Mohd Irwan menjelaskan demikian bagi menafikan pendedahan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat, kelmarin mengenai dakwaan berlaku kekurangan RM18 bilion dalam dana amanah pembayaran balik GST selain mendakwa pentadbiran kerajaan terdahulu menyalahgunakan wang berkenaan.

Kelmarin, Guan Eng juga mendakwa bayaran balik GST tertangguh sehingga dua tahun kerana pentadbiran kerajaan terdahulu sudah ‘merompaknya’.

Menurut Guan Eng, tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST sejak 1 April 2015 hingga 31 Mei lalu berjumlah RM19.4 bilion. Bagaimanapun, baki semasa dalam Tabung Bayaran Balik hanya RM1.49 bilion, bermakna berlaku kekurangan kira-kira RM18 bilion.

Ditanya sama ada beliau akan membuat laporan polis mengenai kenyataan Guan Eng yang berkata bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan sedar mengenai kekurangan RM18 bilion dalam tabung bayaran balik GST, Mohd Irwan berkata, setakat ini, beliau tiada perancangan untuk berbuat demikian.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.