Peminat belum ‘move on’, Ramos dapat ancaman bunuh lepas cederakan Salah

KAPTEN Real Madrid dan Sepanyol, Sergio Ramos mendedahkan keluarganya menerima ancaman bunuh selepas perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Liverpool lalu.

Ramos, 32, memberikan reaksi terhadap layanan peminat yang mengejek dan mengecamnya sepanjang perlawanan Sepanyol menentang England di Webley pada Sabtu.

Los Blancos sebelum ini mengalahkan pasukan Jurgen Klopp 3-1 pada Mei bagi merebut gelaran kejuaraan Liga Juara-Juara kali ketiga berturut-turut.

Pada perlawanan itu, Mohamed Salah mengalami kecederaan pada bahagian bahu di pertengahan babak pertama selepas bergelut dengan Ramos.

Ramos juga mencederakan Loris Karius sebelum penjaga gol itu melakukan dua kesilapan besar untuk gol pertama dan ketiga Madrid.

Beberapa peminat menuduh pemain antarabangsa Sepanyol itu sengaja mencederakan kedua-dua pemain.

Ramos berkata kepada media: “Saya cuba menghindari ejekan. Akhirnya, saya dapat merasakannya, tetapi saya jauhi semua itu. Ia tidak memberikan kesan kepada permainan saya.

“Orang hanya ingat tentang apa yang berlaku pada perlawanan akhir itu, tetapi tiada siapa yang mengingati ancaman bunuh yang diterima oleh keluarga dan anak-anak saya.

“Ini adalah isu yang sangat sensitif yang mungkin orang lain anggap sebagai jenaka dan (itulah sebabnya mereka) mengejek saya di dalam stadium.

“Saya telah menjelaskan (apa yang berlaku) dan saya tidak perlu memberi penjelasan lagi,” kata Ramos.

Pemain itu berkali-kali menafikan yang dia sengaja mencederakan Salah sehingga menyebabkan penampilan pemain Liverpool itu terhad dalam Piala Dunia di Rusia. – ESPN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.