Malaysia lobi kelayakan Olimpik

KUALA LUMPUR – Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sedang melobi untuk menjadi tuan rumah perlawanan kelayakan Olimpik tahun depan setelah India bertindak menarik diri.

Sekiranya terpilih, Malaysia bersama-sama Jepun dan Belgium bakal menjadi lokasi kepada perlawanan kelayakan Sukan Olimpik 2012 di London.

Presiden MHC, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, pihaknya kini sedang berusaha keras bagi mendapatkan hak sebagai tuan rumah untuk perlawanan kelayakan itu.

“Kita memang amat teruja mengenai hal ini dan sedang berusaha ke arah itu. Kita juga berharap akan diberi peluang menjadi tuan rumah bukan sahaja untuk perlawanan hoki lelaki tetapi juga hoki wanita,” katanya.

Tengku Abdullah berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa MHC di sini, semalam.

Menurut Tengku Abdullah, sekiranya terpilih kelak, ia bakal memberi kelebihan buat skuad hoki lelaki untuk layak ke Sukan Olimpik nanti.

Sementara itu, Tengku Abdullah turut mengumumkan penggabungan Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) dan Persatuan Hoki Wanita Malaysia (MWHA) di bawah satu badan iaitu MHC (Konfederasi).

Beliau memberitahu, langkah itu diambil sebagai memenuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang mahu kedua-dua pertubuhan itu bergabung di bawah satu badan.

“Jadi PHM dan MHWA akan dibubarkan pada 31 Disember 2011 dan bermula 1 Januari 2012, MHC akan mengadakan perbincangan mengenai perlembagaan baru yang akan disusun kelak,” ujarnya.

Jelasnya lagi, dengan penggabungan di bawah MHC, diharap sukan hoki negara dapat diperkukuhkan lagi baik dari segi pentadbiran dan juga pencapaian.

Selepas mesyuarat tersebut, Tengku Abdullah turut menyampaikan cek sebanyak RM115,000 kepada skuad hoki kebangsaan sebagai ganjaran kemenangan setelah meraih gangsa pada Trofi Kejuaraan Asia, September lalu.
Sumber-Utusan

One thought on “Malaysia lobi kelayakan Olimpik

  • 09/10/2011 at 10:31 am
    Permalink

    kalau nak jadi tuan rumah malaysia mmg yg boleh tapi nak menang entah le…

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.