Kawal Produk Makanan sunnah, Elak Cemar Integriti Nabi Muhammad SAW

Dr Muhammad Mustaqim (tiga dari kiri) bersama ahli panel lain ketika
membentangkan kertas kerja pada Persidangan Meja Bulat Paradigma Pemakanan
Menurut Sunah dan Sains anjuran IKIM di Kuala Lumpur, semalam. – Foto Che Rani
Che Din

 

KUALA LUMPUR : Produk berasaskan makanan sunnah dalam bentuk suplemen perlu dikawal dan disahkan khasiatnya secara saintifik sebelum dijual kepada orang ramai.

Pengarah Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Muhammad Mustaqim Mohd Zarif, berkata ia bagi mengelakkan produk itu disalah guna, sekali gus memberi implikasi kepada pengguna dan mencemarkan integriti Nabi Muhammad SAW.

Katanya, kebanyakan produk nutraseutikal (makanan tambahan) tidak memerlukan ujian dan keizinan khas daripada badan mengawal pelesenan dan penjual, sebelum dipasarkan kepada orang ramai berbanding produk farmaseutikal.

Dakwaan tiada bukti

“Produk nutraseutikal kebanyakan dikategorikan makanan. Justeru, sesiapa boleh mendakwa pelbagai khasiat tanpa menyertakan bukti.

“Kajian saintifik terhadap bahan dalam pemakanan sunnah perlu dilakukan secara teliti bagi mengelakkan percanggahan antara sains dan agama yang boleh memberi implikasi terhadap sunnah Nabi,” katanya selepas persidangan meja bulat ‘Paradigma Pemakanan Menurut Sunnah dan Sains’, di sini, semalam.

Beliau berkata, penyelidikan itu juga mampu menyingkap kelebihan khasiat pemakanan sunah yang masih belum diterokai lagi yang bermanfaat untuk kesihatan. Kini banyak produk berasaskan makanan sunnah dalam bentuk suplemen yang dijual di pasaran tanpa dibukti dan disahkan kesahihan khasiatnya secara saintifik.

Sehubungan itu, Muhammad Mustaqim berkata, USIM kini melancarkan program penyelidikan berskala besar mengenai pemakanan sunnah menerusi skim penyelidikan yang dibiayai Kementerian Pendidikan.

Tak bercanggah sains

“Program itu dilaksanakan selama lima tahun mulai tahun ini, membabitkan 48 saintis dan penyelidik seperti pengajian Islam, Sains Perubatan dan Klinikal,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Dietetik Hospital Kuala Lumpur, Norasimah Kassim berkata, amalan pemakanan yang sebenar mengikut al-Quran dan sunnah tidak bercanggah dengan saranan pemakanan sihat mengikut sains moden.

“Mengikut kajian, makanan sunnah berfungsi sebagai makanan bernutrien tinggi dan bukannya hanya mengambil makanan tertentu tanpa makanan seimbang yang lain,” katanya. – Bharian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.