Jelas calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson itu lagi, kepimpinan kerajaan terdahulu telah merosakkan semua institusi termasuk yang diasaskan untuk memelihara kepentingan rakyat.

“Kesemua institusi yang bermasalah itu mesti dipulihkan dan mesti ditekan supaya kembali menjalankan tugas. Dalam keadaan sekarang lebih baik Tun Mahathir yang pimpin negara.

“Saya sebut ini dengan ikhlas dan saya mengenali beliau, saya anggapnya sebagai bapa dan ketua, saya lawan dia tetapi kini saya terima dia sebagai lelaki terbaik untuk memimpin negara ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Ceramah Mega Mahathir Anwar Gandingan Mantap Harapan Malaysia, di sini malam tadi.

Yang hadir sama, Dr. Mahathir serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Menteri Besar, Aminuddin Harun.

Sementara itu, Anwar menzahirkan penghargaan kepada Dr. Mahathir yang sudi ke Port Dickson membantunya dalam kempen PRK Parlimen tersebut.

“Sebagai Perdana Menteri, beliau tidak pernah datang ke pilihan raya kecil, maknanya apabila beliau datang ke Port Dickson, saya rasa kasih kasih yang dulu semarak semula.

“Saya tahu, saya kenal dia, orangnya tegas, walaupun senyum dan sifatnya keras, kalau dia ambil apa-apa keputusan, keputusan itu setelah mengambil kira pelbagai pertimbangan dan memikirkan kepentingan rakyat dan negara, untuk itu saya hormat kamu tuan,” katanya.

Tambah Anwar lagi, gandingan beliau dahulu bersama Dr. Mahathir disifatkan sebagai gandingan luar biasa.

“Gandingan kami antara gandingan yang bersejarah, berkhidmat di bawah Tun Mahathir, pengawasan dan didikan beliau sehingga menjadi Timbalan Perdana Menteri, gandingan yang luar biasa mantapnya. Kemudian kami bergelut, bertarung sengit begitu lama lepas itu kami berpakat semula.

“Saya menemui semula Tun Mahathir selepas 18 tahun dan saya terkesan seorang negarawan dapat meninggalkan perasaan dan masalah yang lalu semata-mata tekad kami bersama bergandingan untuk selamatkan Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE