Empat Pilihan Untuk Umno – Nik Abduh

KOTA BHARU: Pintu PAS masih terbuka luas untuk anggota Umno, kata ahli jawatankuasa pusat parti, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz.

Beliau berkata, ia merupakan pilihan terbaik buat Umno kerana jika parti itu memilih untuk bersendirian, ia akan ‘berkubur’.

Jika Umno memilih untuk menjalinkan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain tidak akan menyukainya.

Beliau berkata, Umno hanya mempunyai empat pilihan iaitu hidup berseorangan seadanya, bergabung atau menjalinkan hubungan dengan PPBM, menjalin hubungan baik dengan PAS atau ‘tunggu masa untuk berkubur’.

“Setakat ini, pilihan kedua amat tidak disenangi PH. Pilihan nombor empat hampir disenangi semua kecuali Umno.

“Jika Umno memilih pilihan nombor satu, ia akan membawa kepada nombor empat (berkubur).

“Manakala pilihan nombor tiga, amat dinanti-nantikan,” kata Nik Mohamad Abduh menerusi status yang dimuat naik di Facebook miliknya pada Ahad.

Ahli Parlimen Bachok itu berkata, PAS sentiasa membuka pintu kepada ahli dan penyokong Umno.

Beliau menggelarkannya sebagai “proses biasa yang diperbaharui”, sambil menambah bahawa antara faktor utama jumlah ahli PAS bertambah dari semasa ke semasa adalah disebabkan penghijrahan ahli dan penyokong Umno kepada parti itu.

Dalam pada itu, Nik Mohamad Abduh mempersoalkan adakah Umno akan pulih daripada kesalahan lampau sekiranya hubungannya bersama PAS semakin baik.

“Atau adakah PAS hanya akan terpalit dengan keburukan hasil hubungan baik tersebut?”

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa PAS sudah di hujung hayatnya.

“Pakatan Harapan tidak pernah takutkan UMNO. Pakatan Harapan hanya takutkan PAS.

“PAS-lah masa depan seterusnya untuk Malaysia,” tambah Nik Mohamad Abduh.-MS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.