Masin mulut Bourdain

Paris: “Dia begitu bersemangat dalam apa saja dilakukannya. Keberanian dan kebijaksanaannya menjadi inspirasi untuk semua orang dan dia selalu bermurah hati. Saya tidak dapat menggambarkan betapa hancur hati dengan pemergiannya.”

Kata-kata itu diungkapkan pelakon Itali Asia Argento, 42, yang juga teman wanita cef selebriti, Anthony Bourdain susulan kematian mengejutnya pada Jumaat lalu.

Bourdain, 61, yang pernah mempunyai masalah ketagihan kokain serta heroin, ditemui tergantung oleh rakannya Éric Ripert pada pagi Jumaat (waktu tempatan) di bilik sebuah hotel di Kaysersberg, Perancis di mana dia menjalani penggambaran episod rancangan Parts Unknown.

Pendakwa, Christian De Rocquigny du Fayel mengesahkan kematian Bourdain dan berkata, pihak berkuasa menyiasat kejadian itu.

“Namun pada peringkat ini, kami tidak melihat pembabitan orang ketiga. Doktor yang memeriksanya di tempat kejadian juga mengesahkan kematiannya akibat digantung,” katanya.

Personaliti terkenal termasuk rakan cef, Gordon Ramsay dan mantan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama antara yang menyuarakan kesedihan mereka dengan berita kematian itu.

Malah, Presiden AS Donald Trump juga sempat memberitahu pemberita bahawa kematian Bourdain ‘terlalu menyedihkan’ ketika meninggalkan Rumah Putih untuk menghadiri persidangan G-7.

Dalam satu temu bual dengan People, Februari lalu, Bourdain secara tidak langsung membayangkan pernah terfikir mahu menamatkan segala-galanya.

“Ada masa saya pernah terfikir, saya sudah puas menjalani kehidupan, apa kata jika saya habiskannya saja dengan terjun dari cenuram ke dalam lautan yang dalam.

“Namun selepas kelahiran anak perempuan, Ariana, pada 2007 saya rasa lebih bertanggungjawab untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Dalam temu bual itu juga dia mengaku mungkin mati ketika bekerja kerana tidak dapat membayangkan akan bersara.

Bourdain juga antara selebriti lelaki yang menjadi penyokong lantang pergerakan antigangguan seksual, #MeToo, malah Asia antara wanita yang tampil menuduh penerbit Hollywood terbabit pernah menyerangnya.- METRO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.