NGO Lapor Polis Tindakan Hina Institusi Diraja

DUA pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Inspirasi Melayu Gombak (IMPAK) dan Pertubuhan Waris Keturunan Anak Minang Malaysia (WAKAM) membuat laporan polis tindakan menghina dan memburukkan institusi diraja di IPD Gombak, hari ini.

GOMBAK: Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis hari ini berkaitan tindakan segelintir pihak atau individu yang didakwa menghina serta memburukkan institusi diraja terutama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Pertubuhan Inspirasi Melayu Gombak (IMPAK) dan Pertubuhan Waris Keturunan Anak Minang Malaysia (WAKAM) membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selayang di sini, hari ini.

Laporan dibuat terhadap sebuah artikel yang dimuatnaik di blog dipercayai milik pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard.

Presiden IMPAK, Datuk Zul Azhari Mohamed Juah, berkata pihaknya mengesyaki tindakan itu adalah permulaan kepada agenda yang lebih besar bertujuan untuk menghilangkan kuasa raja dan sultan.

“Kami gesa pihak polis segera menyiasat kesahihan artikel berkenaan, dan mengambil tindakan segera kepada individu atau pihak yang menghina serta memburukkan institusi diraja, institusi yang mulia ini harus dipertahankan.

“Golongan yang tidak bertanggungjawab ini disyaki menggunakan unsur hasutan bagi menanam perasaan benci terhadap institusi beraja, seterusnya menghancurkan terus institusi diraja negara ini dan membina sebuah negara republik.

“Ia jelas satu tindakan biadab yang melanggar dasar rukun negara yang kedua, pelanggaran ini adalah jelas ditujukan terus kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika ditemui pemberita.

Zul berkata, pihaknya meminta NGO Melayu di seluruh negara bangkit menyatakan sokongan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Katanya, IMPAK berikrar untuk memberi sokongan penuh dan sedia menjadi benteng terakhir kepada Tuanku dalam mempertahankan kuasa dan hak Tuanku Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Beliau berkata, laporan berkenaan dirujuk kepada Balai Polis Seksyen 9 Shah Alam berkait satu laporan mengenai isu sama yang turut dibuat di balai berkenaan.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.