UMNO Persoal Tiada Kabinet Penuh Selepas Sebulan

KUALA LUMPUR: Kegagalan kerajaan mengumumkan barisan Kabinet penuh selepas sebulan mentadbir menggambarkan seolah-olah wujud krisis pemilihan calon antara parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Unit Komunikasi Strategik UMNO dalam satu kenyataan berkata, kelewatan menamakan menteri bagi portfolio utama seperti Kementerian Luar, Kementerian Pelancongan, Kementerian Kerja Raya serta Kementerian Belia dan Sukan, menimbulkan persoalan sama ada wujud pergelutan kuasa atau PH tiada calon yang layak dan berpengalaman.

Katanya, rakyat dan komuniti antarabangsa juga masih kabur dengan dasar luar negara kerajaan, sedangkan ia adalah perkara utama diumumkan mana-mana kerajaan dunia apabila membentuk Kabinet.

“Sejak memerintah, kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad terlalu asyik dengan ‘dendam politiknya’ terhadap Datuk Seri Najib Razak, 1MDB, hutang luar yang diputarbelitkan dan janji manifesto yang terpaksa dipinggirkan kerana seolah-olah keadaan tidak mengizinkan.

“Isu pelantikan Peguam Negara juga berkecamuk walaupun Perdana Menteri sudah membuat keputusan tidak populis dengan menamakan Tommy Thomas bagi menggantikan Tan Sri Apandi Ali.

“Malah, ada anggota pentadbiran PH cuba memperlekehkan Perlembagaan negara dan Majlis Raja-Raja Melayu yang mempunyai hak dalam perkara ini. PH sudah mula terjebak dengan perangkapnya sendiri,” kata kenyataan itu, hari ini.

UMNO mendakwa, kerajaan dilihat dianggotai ahli hipokrit dan pemutar belit fakta serta bersikap ‘bodoh sombong’ dengan keengganan mengiktiraf angka rasmi yang dikeluarkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa, Bank Dunia dan sebagainya.

“Inilah negara ‘free for all’ atau negara ‘koboi’ mengikut kedaulatan undang-undang yang hanya termaktub ke atas orang lain, sedangkan mereka terkecuali daripadanya. Ini menjadikan negara kita mundur ke belakang,” katanya.

Sementara itu, UMNO itu turut mempersoalkan kunjungan Dr Mahathir ke Jepun dengan menyifatkan Perdana Menteri memikul tugas sebagai ‘jurujual’ bagi menarik lebih banyak pelabur negara matahari terbit itu ke Malaysia.

“Jika beliau (Dr Mahathir) pernah menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) ‘menjual’ negara kepada China, apa bezanya dengan usaha beliau untuk menarik pelaburan Jepun. Dalam sejarah, pernahkah China menakluk Tanah Melayu,” katanya.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.