Zoey cuba nasib jadi penyanyi

Sebagai permulaan, Zoey, 33, mencuba nasib dengan menyanyikan lagu raya berjudul Girang Syawal Tiba bersama artis naungan FMC seperti Wany Hasrita, Sissy Iman, Haqiem Rusli, Tajul dan Ernie Zakri.

Lagu ciptaan Amirah Ali dan lirik tulisan Shah Shamshiri itu dihasilkan dengan kerjasama pusat beli-belah Mydin Malaysia.

“Saya menganggap pembabitan dalam dunia nyanyian sekadar suka-suka, selain menimba pengalaman baharu. Selama ini, saya hanya mencuba nasib dalam lakonan dan pengacaraan.

“Saya berbesar hari apabila diundang sama untuk menjayakan projek terbabit. Hakikatnya, saya berasa diri ini begitu kerdil apabila menyanyi di celah-celah artis hebat yang lain.

“Lagu terbabit dirakam sebelum Ramadan tahun ini, di sebuah studio di Damansara. Malah, video muziknya juga dirakamkan sebelum bulan puasa. Video muzik rasmi Girang Syawal Tiba akan dilancarkan malam ini di YouTube,” katanya.

Menurut Zoey, selepas ini dia akan mula mempromosikan single solonya pula yang berjudul Bilang I Love You, ciptaan Firman Pria Band. Lagu berkenaan dirakamkan di Jakarta, dua tahun lalu.

“Rakaman single solo ini juga sekadar percubaan. Jika ia mendapat sokongan peminat, mungkin saya akan terus merakamkan lagu baharu,” katanya.

Video lirik rasmi lagu terbabit sudah pun dikongsi di laman YouTube sejak 23 Mei lalu.

Sementara itu, menyentuh sambutan lebaran, seperti biasa Zoey atau nama sebenarnya Mohd Hairey Azhar Abdul Rahman akan pulang beraya di Besut, Terengganu.

“Seminggu sebelum raya, saya selalunya sudah kembali ke kampung halaman. Dalam tempoh itu jugalah saya mencuri ruang untuk membuat persiapan dan mencari keperluan raya buat keluarga,” katanya-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.