Perjuang atau ‘tunggang’ isu bahasa?

Untuk itu, pejuang bahasa atau pihak yang ada kepentingan politik menggunakan peruntukan Perkara 152(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan.

Ada yang mahu, dalam kes pendakwaan itu berpegang kepada Seksyen B Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang menetapkan prosiding dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau mana-mana mahkamah yang lebih rendah menggunakan bahasa kebangsaan.

Natijah daripada dua peristiwa ini, maka berlakulah hiruk-pikuk secara nyata di pekarangan mahkamah dengan jeritan ‘Hidup Melayu’ dan ‘Allahuakbar’ daripada kelompok ‘penunggang’ politik yang bertukar menjadi pejuang bahasa kebangsaan.

Dalam kes bahasa Mandarin pula, berleluasa muncul penulisan dalam alam siber dan media konvensional yang menghentam tindakan menteri berkenaan, baik dari pejuang bahasa kebangsaan, mahupun ahli siasah yang sentiasa menunggu ruang dan peluang untuk menonjolkan diri sebagai juara dengan menunggang isu yang boleh dipolitikkan.

Sedangkan sebelum ini, mereka ini jugalah kelompok yang tidak berani menegur mahupun mengusulkan tindakan diambil jika berlaku perlanggaran bahasa dalam kalangan kepemimpinan parti atau saf mereka.

Berilah ruang secukupnya untuk menteri bukan Melayu belajar bercakap atau menulis dalam bahasa kebangsaan dan peguam untuk berhujah dalam bahasa kebangsaan.

Perubahan bukan boleh dibuat semalaman, apatah lagi kuasa ‘memantau’ atau menasihat penggunaan bahasa kebangsaan, sama ada untuk acara rasmi atau tidak, gagal dilaksanakan oleh agensi yang diamanahkan oleh kerajaan sebelum ini.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) umpamanya, mempunyai Program Audit Bahasa Melayu sejak 2013 lagi.

Namun, ketika era pentadbiran Barisan Nasional (BN) dulu, agensi itu hanya ‘diam’ apabila mendapati tahap penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi seperti mesyuarat, surat rasmi, pekeliling, minit mesyuarat, laporan dan peragaan di premis kementerian, jabatan dan agensi kerajaan bukan hanya belum cukup memuaskan, malah ada yang di tahap mengecewakan.

Bagi pejuang bahasa tulen, jangan mencari salah kerajaan baharu yang memerintah, sebaliknya perlu akui barah suka menggunakan bahasa asing dalam kerajaan ketika itu sudah pun berada di Tahap 4!

Seharusnya, kita berlapang dada apabila ada menteri dan peguam bukan Melayu yang mengakui akan berusaha meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan kerajaan, kementerian dan mahupun berhujah di mahkamah.

Janganlah kita memalukan diri dengan membuat kekecohan di tempat awam dengan laungan ‘Hidup Melayu’ atau ‘Allahuakbar’ yang mirip perhimpunan sebuah parti politik, walhal perlakuan itu tidak menggambarkan ciri-ciri Melayu Muslim yang hebat dan ikhlas dalam memperjuangkan masa depan kaumnya.

Beristiqamahlah menegakkan yang hak dan menolak yang batil, bukan memenuhi agenda politik pihak berkepentingan.

Setiap warga negara tidak boleh menafikan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu, termasuk dalam perjuangan politik.

Paling penting, perjuangan itu dapat memberi kesedaran kepada kerajaan untuk berbangga dan memaksimumkan penggunaan bahasa kebangsaan oleh semua jentera pentadbiran dalam urusan penting negara.

Bagi penulis, isu bahasa kebangsaan yang timbul baru-baru ini bukanlah kerana kecintaan mendalam kepada bahasa itu, sebaliknya bermotif politik untuk ‘memasang lukah di pergentingan’ bagi menanam kebencian ke atas individu terbabit, selain mahu menimbulkan isu kredibiliti pasukan pendakwaan.

Bagi Kerajaan Pakatan Harapan (PH), buktikan pelbagai tanggapan serong sesetengah masyarakat Melayu-Islam ketika ini mengenai soal bahasa, Melayu dan agama Islam serta institusi beraja tiada asasnya.- BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.