‘Jangan hidup dalam fantasi’

KUALA LUMPUR: Pelakon senior, Azhar Sulaiman akur dengan perjalanan naik turun insan seni, membuatkan dia tidak terasa hati apabila jarang menerima tawaran berlakon.

Azhar, 47, juga menerima kenyataan, penggiat industri hiburan di negara ini masih belum terbuka seperti di Hollywood yang sentiasa memberi ruang kepada pelakon lama dan berpengalaman menerajui sesebuah produksi.

“Saya tidak terkilan jika tiada tawaran, jauh sekali merungut apabila tidak lagi menjadi pilihan membawa watak utama. Saya sentiasa sedar diri kerana pada usia ini, tidak banyak watak yang sesuai.

“Saya juga perlu ingat, masih ramai pelakon lain mempunyai peluang untuk menggalas watak yang sama.

Disebabkan itu, sejak dulu saya tidak pernah menjadikan lakonan sebagai kerjaya tetap.

“Bagi saya, setiap anak seni perlu mempunyai visi kerana kerjaya ini sekadar platform untuk membina profil dan mencari sumber kewangan lain.

“Tidak semua pelakon bertuah apabila masih menjadi pilihan membawa watak utama selepas tiga tahun mencipta nama. Manfaatkan populariti itu untuk meningkatkan sumber pendapatan dan dijadikan profil sebagai modal masa depan,” katanya yang turut dikenali sebagai arkitek.

Pelakon filem Abang 92 itu berkata, dia pelik dengan sikap segelintir anak seni yang sanggup hidup dalam penafian apabila menyatakan, mereka hanya memilih watak tertentu untuk menjaga kualiti.

Azhar berkata, kenyataan mereka itu menggambarkan seolah-olah industri seni tempatan terlalu gah, sedangkan hakikatnya ia tidak seperti dicanangkan.

“Ramai yang berada dalam bidang ini suka berangan. Kita tidak boleh terlalu memilih atau berebut, malah untuk mendapat tawaran, walaupun satu dalam sebulan juga susah.

“Nasihat saya pada anak seni, terutama pelakon, jangan terlalu diulit angan-angan. Lakonan itu tanggungjawab dan tugasan, jadi berpijaklah di bumi nyata,” katanya.

Biarpun tidak seligat dulu, Azhar memaklumkan, pintu rezekinya dalam bidang lakonan masih terbuka apabila diberi peluang membintangi produksi arahan Hitler Zamani, Bikin Filem.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.