Bekas pekerja sosial berusia 42 tahun dan merupakan ibu kepada dua orang anak itu memenangi kerusi utama Parti Demokrat yang juga kerusi selamat di Detroit.

Dengan ketiadaan calon Parti Republikan atau pihak ketiga, beliau dalam kedudukan untuk menjejakkan kaki ke Dewan Perwakilan selepas pilihan raya pertengahan penggal November ini.

“Terima kasih kerana menjadikan saat yang sukar dipercayai ini bakal berlaku, saya kehilangan kata-kata. Saya tidak sabar untuk berkhidmat di Kongres,” kata Rashida dalam tweet beliau.

Kemenangannya ke atas lima lagi calon lain melayakkannya menjadi wanita Islam pertama di Kongres, iaitu 12 tahun selepas Keith Ellison dari Minnesota menjadi orang Islam pertama menduduki kerusi Dewan Perwakilan AS.

Malah, Rashida juga akan menjadi wanita Amerika keturunan Palestin pertama yang dipilih ke Dewan Kongres.

Ahli Perwakilan Andre Carson yang dipilih pada 2008 dari Indiana kini merupakan satu-satu­nya ahli Kongres Islam di dalam dewan itu.

Rashida merupakan satu daripada beberapa calon wanita beragama Islam dan beratus-ratus wanita yang bertanding dalam pilihan raya tahun ini dengan kebanyakannya mewakili parti Demokrat.

Rakaman video yang dikongsi di media sosial menunjukkan Rashida penuh beremosi semasa dikelilingi penyokong dan ibunya yang berasal dari sebuah kampung di Tebing Barat.

“Mereka memberi tumpuan kepada televisyen, nenek saya, ibu saudara saya, bapa saudara saya di Palestin duduk dan menonton cucu perempuan mereka,” kata­nya sambil menangis.

Rashida menyifatkan pemilihan Trump sebagai isyarat buruk kepada semua wanita dan mendakwa penyertaannya dalam pilihan raya bersifat peribadi yang didorong oleh perasaan ingin tahu anak lelaki­nya tentang menjadi seorang Islam di tengah-tengah peningkatan Islamofobia di AS.

Pusat Penyelidikan Pew meng­anggarkan kira-kira 3.45 juta umat Islam tinggal di AS de­ngan membentuk 1.1 pe­ratus daripada kese­lu­ruhan pendu­duk AS. – AFP/UTUSAN ONLINE