Bajet 2012: Program penjelasan diperhebat

KOTA BHARU 9 Okt. – Program penerangan akan diperhebat bagi menjelaskan kepada rakyat Kelantan tentang faedah dan manfaat yang mereka perolehi melalui Bajet 2012 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan Pusat tidak pernah meminggirkan rakyat negeri itu kerana banyak faedah dan perkara yang boleh meringankan beban mereka disediakan oleh kerajaan melalui bajet tersebut tetapi mungkin tidak difahami secara jelas oleh mereka.

Beliau berkata, antara faedah itu adalah peruntukan sebanyak RM500 bagi isi rumah pendapatan kurang RM3,000, pemansuhan yuran sekolah, bantuan persekolahan sebanyak RM100, manakala bagi pegawai kerajaan pula pemberian pelbagai jenis elaun, kenaikan gaji dan bonus.

“Jadi, kita minta Kementerian Kewangan hantar pegawai ke Kelantan untuk beri penerangan tentang faedah kepada rakyat termasuk rakyat Kelantan. Kita tak mahu rakyat Kelantan merasakan mereka terpinggir,” katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK) di Jabatan Pembangunan Persekutuan di sini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Makhtar Mustapha.

Mustapa yang juga Pengerusi MTPNK berkata, majlis penerangan akan diadakan dalam waktu terdekat khusus untuk kakitangan kerajaan, orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pelbagai pihak lain yang bakal dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.
Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.