Berkomunikasi dengan angkasawan ISS

SERAMAI 20 pelajar dari pelbagai sekolah seluruh negara berpeluang untuk bercakap dan bertanyakan soalan kepada angkasawan Jepun dari Agensi Penerokaan Angkasa Lepas Jepun (JAXA) yang berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Program yang dianjurkan oleh Planetarium Negara , Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) itu mengambil masa selama hampir 10 minit berhubung dengan angkasawan JAXA, Dr. Satoshi Furukawa di ISS yang sedang mengorbit bumi.

Seramai 20 pelajar tersebut merupakan antara yang terpilih dalam pertandingan National Space Challenge 2011 peringkat kebangsaan, mewakili 16 pasukan sekolah daripada 13 buah negeri seluruh Malaysia.

Walaupun terpaksa menunggu sehingga pukul 11 malam untuk berkomunikasi dengan angkasawan terbabit, ia tidak sedikit pun mematahkan semangat mereka.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara Dr. Nordin Ahmad, program tersebut merupakan acara tahunan yang diadakan oleh Planetarium Negara.

“Tujuan kita adakan program ini adalah untuk memberi kesempatan kepada pelajar merasai pengalaman berkomunikasi dengan angkawasan di luar bumi.

“Selain itu, kita juga berharap dapat mencungkil serta memupuk minat mereka dalam bidang penerokaan angkasa lepas,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi komunikasi antara angkasawan Jepun dan 20 pelajar sekolah di Planetarium Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini. Program tersebut dikendalikan oleh Sangat Singh.

Sebelum berpeluang berkomunikasi secara langsung dengan angkasawan, pelajar turut dibawa menonton tayangan berkenaan angkasa lepas dan sejarah penghantaran manusia ke angkasa lepas.

Sementara itu, Dr. Satoshi Furukawa merupakan seorang Jurutera Penerbangan yang telah terpilih sebagai calon angkasawan pada tahun 1999.

Beliau telah dilatih di Pusat Latihan Angkasawan Gagarin di Moscow dan Pentadbiran Angkasa Lepas Aeronautik Kebangsaan (NASA) dan , Johnson Space Centre di Texas , Amerika Syarikat.

Bekas pakar bedah Hospital Universiti Tokyo itu telah berlepas ke ISS sejak 7 Jun lalu dari Baikonour Cosmodrome untuk menyertai ekspedisi 28/29 yang juga merupakan misi penerbangan paling lama di ISS.

Di ISS, Furukawa menggunakan pengetahuan dan pengalamannya sebagai seorang pakar bedah untuk melakukan uji kaji diagnosis jarak jauh serta pengurusan data perubatan semasa tinggal di ISS.

Beliau juga menjalankan uji kaji membuat teh hijau dalam keadaan sifar graviti, menggunakan dakwat Jepun bagi menghasilkan seni marbling ‘suminagashi’ serta ujian menyemai benih timun.

Antara soalan-soalan yang ditanya kepada beliau pada sesi komunikasi tersebut adalah seperti apakah perasaan pada 10 saat pertama berada di angkasa, jika anda menangis apakah yang terjadi kepada air mata, adakah ia jatuh.

Seterusnya bagaimana menyemai benih di angkasa, adakah sukar untuk makan di angkasa, bagaimana angkasawan mandi dan adakah angkasawan memiliki ruangan bilik sendiri serta pelbagai lagi.
Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.