Hab pendidikan global: Negara perlu anjakan paradigma

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Paradigma dunia akademik negara perlu dianjak bagi menyahut hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi yang bersifat global, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ahli-ahli akademik mesti lebih terkehadapan dalam mempelopori penyelidikan impak tinggi dan menjadikan inovasi sebagai paksi budaya berprestasi tinggi di universiti.

Beliau berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2012 yang menjadikan tahun 2012 sebagai tahun Gerakan Inovasi Nasional perlu disahut oleh setiap ahli akademik melalui penterjemahan hasil penyelidikan dan pembangunan menjadi produk yang bernilai komersial.

“Dalam konteks ini, ahli-ahli akademik perlu sentiasa berada di barisan paling hadapan dalam mencetuskan idea-idea baru yang bernilai komersial dan berdaya maju.

“Saya berharap agar ahli akademik yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang merebut peluang keemasan ini dan menjadi pelopor kepada Gerakan Inovasi Nasional yang diumumkan Perdana Menteri,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Akademik Negara 2009/2010 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.