Kerajaan digesa kaji dasar pengambilan pekerja asing

KOTA KINABALU 10 Okt. – Majlis Perhubungan Malaysia-Kesatuan Global UNI (UNI-MLC) menyarankan agar kerajaan Pusat mengkaji semula dasar berhubung pengambilan pekerja asing terutama di Sabah.

Presidennya, Mohamed Shafie Mammal berkata, langkah itu wajar bagi memastikan kepentingan pekerja tempatan atau rakyat tempatan sentiasa terbela.

Beliau berkata, lazimnya pekerja asing diambil bagi sektor tertentu sahaja terutama sektor perladangan dan pembinaan namun apa yang berlaku ialah pengambilan pekerja asing ini seolah-olah meliputi banyak sektor termasuk sektor yang sepatutnya boleh diisi oleh pekerja tempatan.

“Oleh itu, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji secara menyeluruh dan menentukan kuota pekerja asing yang diambil bagi sektor yang benar-benar memerlukan perkhidmatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Bengkel Advokasi Majlis Kesatuan Sekerja Perkhidmatan Asean (ASETUC) peringkat nasional di sini hari ini.

Mohamed Shafie, yang juga setiausaha agung ASETUC berkata, dasar baru itu seharusnya mengambil kira bukan sahaja pandangan kesatuan-kesatuan pekerja, majikan dan pemimpin tetapi juga mendengar keluhan pekerja tempatan sendiri di negara ini. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.