72 termasuk Superintendan dibuang kerja

KUALA LUMPUR: Seramai 72 anggota dan pegawai polis dibuang kerja atas pelbagai kesalahan termasuk rasuah dan salah laku sehingga September ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tindakan itu diambil berikutan kesalahan tatatertib yang dilakukan anggota berkenaan.

Beliau berkata, semua pegawai dan anggota yang dibuang kerja adalah berpangkat Superintendan, Deputi Superintendan dan anggota berpangkat rendah.

“Daripada jumlah itu seramai 1,484 anggota dan pegawai diambil tindakan termasuk digantung tugas.

“Mereka ini melakukan pelbagai kesalahan iaitu salah guna kuasa, cuai, gagal hadir bertugas dan terbabit dengan kegiatan jenayah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pemantapan Integriti dan Pelancaran Jurnal Integriti PDRM di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, kesalahan tatatertib yang dilakukan warga PDRM pada tahun lalu ialah 3,096 kes.

“Jumlah itu dapat dikurangkan pada tahun ini. Isu integriti sentiasa menjadi tumpuan dan sedang diambil tindakan tegas.

“Permasalahan yang dihadapi oleh pasukan amat memerlukan perhatian serius dan tindakan pencegahan semua pihak,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi berkata, 12 anggota dan pegawai di Sabah yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih bertugas.

“Mereka masih belum digantung tugas lagi memandangkan siasatan berhubung kes berkenaan baru bermula.

“Kita perlu bertindak adil kepada anggota dan pegawai yang ditahan sehingga kami menerima laporan lengkap daripada SPRM,” katanya.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.