Khabib, 30, yang mengekalkan gelaran itu selepas menewaskan McGregor pada pusingan keempat pertarungan di Las Vegas, telah mencatatkan kemenangan 27-0 dalam kerjaya profesionalnya termasuk 11 di gelanggang UFC.

Sebaik sahaja berjaya menundukkan McGregor Khabib telah melompat keluar dari pagar gelanggang dengan sasaran menyerang rakan selatihan McGregor, Dillon Danis.

Presiden UFC, Dana white melalui rakaman video di laman web UFC berkata, gelaran yang dipegang oleh jaguh Russia itu tidak akan dilucutkan dan sebarang tindakan yang bakal diambil ekoran kekecohan itu hanya akan dilakukan oleh Suruhanjaya Atlet Nevada (NAC).

“Sudah tentu gelaran itu akan kekal bersamanya. Dan dia akan digantung (oleh NAC), jadi mungkin dia akan digantung dari empat ke enam bulan,” katanya.

White berkata, NAC juga belum menyerahkan wang kemenangan kepada Khabib kerana menunggu proses siasatan ekoran kejadian itu dan mungkin akan dikenakan denda.

“(NAC) telah mengambil semua wang kemenangannya dan mereka berkata akan menyimpan wang itu. Saya rasa itu tak sepatutnya berlaku. Mereka tak sepatutnya memegang semua wang kemenangannya,” katanya.

Menurut White, NAC sepatutnya hanya mengambil AS$250,000 sebagai denda.

Bagaimanapun kata White, Khabib telah melakukan kesilapan kerana dia tidak sepatutnya bertindak masuk ke kawasan penonton selepas berlaku perbalahan dengan kem McGregor.

“Saya tidak fikir orang tidak faham kenapa dia berbuat demikian. Tetapi dia tidak sepatutnya bertindak sedemikian. Dia adalah juara dunia. Dia baru sahaja menewaskan Conor di depan seluruh dunia. Bangun, ambil tali pinggang lilit keliling pinggang anda, Anda juara. Mereka yang menjerit-jerit itu tidak ada apa-apa,” kata White.

White berkata, dia tidak pasti akan masa depan Khabib bagaimanapun McGregor telah menyatakan untuk mengadakan perlawanan semula, tetapi NAC perlu menetapkan terlebih dahulu bila tempoh masa lawan yang kalah boleh kembali ke gelanggang. – AFP.