Langgar Lari Polis: Pemilik Toyota Avanza Dicari

GEORGETOWN – Pemilik sebuah kereta jenis Toyota Avanza diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan berhubung kemalangan melibatkan seorang anggota polis trafik di Jambatan Pulau Pinang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pemilik kenderaan bernombor WQA 3495 itu diminta memberi keterangan kerana dipercayai melanggar seorang anggota polis yang menahannya ketika membuat rondaan kira-kira jam 4.40 petang di Kilometer 5.7 Jambatan Pulau Pinang.

Menurutnya, pemandu kereta tersebut tidak mengendahkan arahan tersebut lalu memecut kenderaannya.

“Dia juga menghimpit dan melanggar motosikal mangsa. Mangsa yang cedera di beberapa bahagian badan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan sebagai pesakit luar,” katanya ketika dihubungi tadi

Jelasnya, pemeriksaan melalui sistem Mobile Computerized On-line Payment (MCOP) mendapati, kenderaan tersebut milik sebuah syarikat yang beralamat di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kereta tersebut diminta tampil di mana-mana balai polis untuk membantu siasatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.