BN Rampas Selangor, Red Giant Dapat Stadium Shah Alam

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada sambutan Hari Gerakan Belia 4B Malaysia, Karnival Sukan Muhibah 2018 di Banghuris Homestay Sungai Pelek. – Foto Ahmad Irham Mohd Noor

SEPANG: Stadium Shah Alam akan kembali menjadi gelanggang pasukan Red Giant sekiranya Barisan Nasional (BN) kembali merampas Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Datuk Seri Najib Razak.

Jaminan itu diberikan Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Pelancaran Hari Gerakan Belia 4B Malaysia dan Karnival Sukan Muhibah 2018 di Homestay Banghuris, Kampung Ulu Chucoh, di sini, hari ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat kerana beliau amat memahami isi hati orang muda Selangor berhubung isu berkenaan.

“Stadium Shah Alam pun kita akan serahkan balik kepada pasukan Red Giant,” katanya.

Sebelum ini, skuad bola sepak Selangor tidak dapat beraksi di Stadium Shah Alam dalam saingan Liga Super musim ini susulan masalah antara Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan kerajaan negeri sejak penghujung 2016, menyebabkan pasukan itu perlu mencari gelanggang lain.

Pada perlawanan sebelum ini, Red Giant terpaksa beraksi di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur sebagai gelanggang tuan rumah.

Perdana Menteri berkata, sekiranya BN memenangi PRU-14 di Selangor, beliau juga akan memastikan hak Majlis Belia Negeri Selangor (MBNS) terhadap kompleks belia di Seksyen 7, Shah Alam turut dikembalikan.

Terdahulu, Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar, berkata kerajaan Selangor di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menganaktirikan pelbagai pihak di negeri berkenaan.

Beliau berkata, isu Stadium Shah Alam dan kompleks belia itu, antara contoh keadaan di mana warga Selangor dinafikan hak hingga terpaksa menjadi ‘pelarian’ di negeri sendiri.

“Kalau hari ini kita (BN) menang, esok Stadium Shah Alam diserahkan balik kepada Red Giant,” katanya. -BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.