Waspada Kumpulan Curi Barang Di Pusat Beli-belah

JOHOR BAHRU: Taktik sekumpulan penjenayah menyamar pelanggan sebelum merompak barang berharga milik mangsanya secara terancang viral menerusi rakaman sebuah kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah pusat beli-belah di Tebrau, sejak petang semalam.

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 27 saat yang dikongsi menerusi laman sosial Facebook (FB) memaparkan perbuatan beberapa individu mendalangi kegiatan curi di bangunan pusat beli-belah berkenaan.

Berdasarkan modus operandi terancang kumpulan itu, seorang lelaki dilihat menghampiri mangsanya iaitu seorang wanita sebelum membuka beg sandang.

Kegiatan itu bermula apabila seorang wanita cuba mengalihkan perhatian mangsa seperti bertanyakan sesuatu sebelum seorang lagi wanita cuba menutup perlakuan lelaki terbabit dengan sebuah fail.

Kegiatan curi yang dirakam CCTV berkenaan dikongsi beberapa laman sosial FB hingga menarik perhatian netizen yang berkongsi pautan itu.

Berikutan itu, polis sedang memburu kumpulan mendalangi kegiatan mencuri beg duit milik pelanggan dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Tebrau di sini, selepas aktiviti mereka viral di media sosial, sejak semalam.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata sehingga kini tiga laporan diterima daripada mangsa membabitkan kehilangan beg duit dalam kejadian di pusat beli-belah itu, petang semalam.

“Semakan dilakukan mendapati tiga laporan polis dibuat berkaitan kehilangan beg duit, namun mangsa tidak sedar bagaimana beg duit dan barang mereka hilang.

“Belum ada tangkapan sehingga kini,” katanya ketika dihubungi bagi mengesahkan viral itu.

Beliau berkata, mana-mana individu yang menjadi mangsa perlu segera membuat laporan di balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara tidak sampai tujuh tahun dan denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.