GST telah ‘pergi’, tapi Kohila belum kembali ke Bank Negara

WAWANCARA | Kohila Yanasekaran telah bekerja dengan Bank Negara Malaysia (BNM) selama 12 tahun, sejak 2005 sehingga 19 Julai 2017 apabila beliau dipecat kerana menghadiri Himpunan Hari Pekerja pada 1 Mei 2016 dan memakai baju ‘Batal GST’.

Kohila berpendapat tindakan BNM memecatnya sebagai mencabul hak asasi dan kebebasannya kerana aktiviti yang dihadirinya itu dibuat bukan pada waktu kerja. Malah, beliau juga diarah meninggalkan BNM dalam masa satu jam pada hari sama.

Mengimbau kembali kejadian berkenaan, Kohila sebak dan terkilan.

Kohila merasakan sepanjang bekerja di bank berkenaan, itulah kali pertama beliau diperlakukan seumpama melakukan jenayah kerana turut diiringi polis bantuan ketika beredar pergi.

Ekoran kejadian yang menimpanya itu, Kohilan berharap dengan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN), pentadbiran baru akan menghapuskan polisi majikan ‘mengekang’ kebebasan pekerjanya.

Wanita berusia 43 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur itu juga berharap semua pekerja diberi hak untuk terlibat dengan apa jua aktiviti termasuk berkaitan parti politik.

“Hak sebagai pekerja serta warganegara ini terletak dalam Perlembagaan dan ia tak boleh dicabul oleh majikan.

“Apa yang dilakukan pekerja selepas waktu bekerja adalah hak mereka. Jadi saya harap kerajaan baru ini dapat memastikan agar adanya satu demokrasi yang sihat kerana setiap pekerja ada pendapat mereka.

“Semua orang berhak untuk terlibat dalam proses demokrasi,” katanya kepada Malaysiakini.

Kohilan berkata akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kejadian yang menimpanya.

Menurut Kohilan, apa yang beliau cuba perjuangkan bukan sahaja mengenai dirinya sendiri tetapi semua pekerja di negara ini.

“Pekerja takut nak suarakan pendapatnya sebab takut akan dibuang kerja.

“Mentaliti ini kena tukar kerana kita menuju Malaysia baru.

“Kerajaan baru kena pastikan masyarakat mempunyai hak untuk berpolitik tidak kira di pihak mana pun mereka serta boleh menyuarakan sebarang isu,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.