Maut Ketika Larikan Diri Dari Polis

ANGGOTA polis memeriksa keadaan seorang wanita yang terjatuh ketika cuba melarikan diri di sebuah hotel di Jalan Airport, Miri. – Foto Mohd Rizal Abdullah

MIRI: Gelabah melihat kehadiran polis, seorang wanita maut akibat terjatuh ketika cuba melarikan diri dalam kejadian di sebuah hotel di Jalan Airport di sini, malam semalam.

Dalam kejadian pada jam 8.55 malam itu, mangsa berusia 31 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh hotel berkenaan.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, mangsa nekad melarikan diri ketika serbuan polis di bilik hotel dihuninya bersama seorang lelaki berusia 34 tahun.

Menurutnya, serbuan dilakukan oleh anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Miri berkaitan kes dadah.

“Ketika pemeriksaan di dalam bilik, mangsa tiba-tiba melarikan diri menuju ke balkoni hotel dan terjatuh.

“Kedua-dua pergelangan kaki mangsa patah dan mangsa disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati, mangsa pernah ditahan polis sebelum ini berkaitan seksyen 414 Kanun Keseksaan dan waran tangkap sudah dikeluarkan kerana mangsa tidak hadir ke mahkamah.

“Pemeriksaan di bilik menemui satu paket plastik mengandungi syabu seberat 1.15 gram,” katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.