Mourinho Pun Tak Dapat Tolong Jepun

TOKYO: Jepun yang berdepan krisis tetap bergelut untuk mengelak daripada tersingkir awal di Piala Dunia Russia 2018 meskipun dikendalikan Jose Mourinho, kata bekas jurulatih pasukan itu, Philippe Troussier.

Skuad Samurai Biru itu mencetus kontroversi apabila memecat Vahid Halilhodzic, April lalu dan menggantikannya dengan bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Jepun (JFA), Akira Nishino –  satu langkah yang disifatkan berisiko tinggi dan mampu memakan diri.

Troussier menegaskan pasukan itu tidak ‘berpeluang langsung’ untuk mara ke pusingan kalah mati selepas diundi bersama Colombia, Senegal dan Poland.

“Jika mereka dikendalikan Mourinho atau Arsene Wenger sekalipun, tetap sukar untuk Jepun melangkah ke pusingan 16 terbaik,” kata pengendali kelahiran Perancis yang membawa Jepun mara ke pusingan kedua Piala Dunia 2002 yang berlangsung di laman sendiri.

“Andai Poland menjadi lawan pertama sekalipun tetap sukar buat mereka. Namun, mereka akan berdepan Colombia pada aksi pertama dan seterusnya Senegal, jadi pada saya, mereka langsung tidak berpeluang untuk mara ke pusingan seterusnya.”

Pada masa sama, Troussier mengakui kehadiran bintang seperti Sadio Mane yang beraksi bersama Senegal, James Rodriguez (Colombia) dan Robert Lewandowski (Poland) yang menggalas tugas untuk menjaringkan gol buat pasukan masing-masing bakal menyebabkan Jepun seperti berdepan ‘hukuman maut’.

“Colombia dan Senegal memiliki empat atau lima pemain yang mampu membawa perubahan pada bila-bila masa,” kata pengendali berusia 63 tahun itu.

“Situasi ini mendatangkan masalah kepada saya. Sukar untuk Jepun selepas kita melihat potensi individu yang dimiliki Senegal serta Colombia.” – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.