Tun M Tiada Bukti – Najib

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mendakwa beliau tidak menerima faedah mahupun mencuri wang dari syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau mana-mana pihak.

Malah, katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah mengambil apa-apa kenyataan daripada beliau pada 2015 seperti didakwa ada kertas pertuduhan dikeluarkan ke atas dirinya.

“Dr Mahathir juga mengakui bukti tidak kukuh dan jika saya didapati tidak bersalah oleh mahkamah, maka segala tuduhan yang dilempar dan tindakan oleh Pakatan Harapan (PH) selama ini akan dipersoalkan oleh rakyat.

“Dr Mahathir telah mengaku PH membuat segala tuduhan itu terhadap saya tanpa bukti kukuh,” katanya dalam entri terbaharu beliau di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Hari ini, Dr Mahathir ketika bercakap pada majlis makan malam dengan diaspora Malaysia di Jepun berkata, percubaan terburu-buru untuk mendakwa Najib daripada skandal 1MDB mungkin akan membebaskannya.

“Ramai orang sedang menunggu…bila kami akan menangkap Najib. Tetapi tidak begitu mudah, kita perlu mengumpul bukti keterangan yang kukuh di mahkamah.

“Jika kami gagal melakukannya, beliau mungkin menang. Cuba fikir apa yang akan berlaku jika Najib menang perbicaraan dan didapati tidak bersalah,” katanya.

Najib berkata, kenyataan Dr Mahathir itu juga membuktikan kertas pertuduhan yang didakwa sudah disediakan untuk mendakwanya pada 2015 adalah tidak benar.

“Pada ketika itu, kenyataan saya tidak pernah diambil oleh SPRM, justeru bagaimana pula ada kertas pertuduhan?

“Hanya sekarang, mereka mahu melakukan justifikasi kepada tuduhan mereka dengan mencari ‘bukti’, sama ada ia benar, diimaginasikan atau direka.

“Saya ingin ulangi, bahawa saya tidak menerima faedah mahupun mencuri wang dari 1MDB atau mana-mana pihak. Jika saya didakwa atas alasan politik, saya yakin mahkamah akan membuktikan saya tidak bersalah,” katanya.

Beliau turut menegaskan anaknya tidak memiliki syarikat senarai awam, memiliki kereta mewah ‘supercar’ bernilai berjuta ringgit dan tidak pernah dianugerahkan kontrak kerajaan atau menjalankan perniagaan dengan kerajaan.

Najib turut berkata, Dr Mahathir silap apabila mendakwa wang yang digunakan 1MDB bagi membiayai beribu jemaah haji, adalah hasil curi.

“Jemaah haji yang dibiayai 1MDB tidak perlu bimbang kerana dana yang digunakan untuk membantu mereka adalah dari sumber halal.

“Saya akan menanggung dosa yang besar jika ia adalah sebaliknya,” katanya.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.