Filem Dukun ditayang di New York

MENCIPTA fenomena di Malaysia, Brunei dan Singapura, filem Dukun arahan Dain Said terpilih untuk ditayangkan di Amerika Syarikat bersempena New York Asian Film Festival 2018 (NYAFF) kali ke-17.

Astro Shaw menerusi satu kenyataan, hari ini menyatakan filem berkenaan turut dipertandingkan menerusi kategori Audience Awards yang mana pemilihan dibuat berdasarkan undian pengkarya dan penonton filem tempatan.

Pemenang setiap kategori dipertandingkan akan diumumkan pada hari terakhir festival.

Filem Dukun akan ditayangkan pada Jumaat ini (13 Julai) bertempat di School of Visual Arts (SVA) Theatre, New York.

Festival anjuran Subway Cinema and Film Society of Lincoln Center bertujuan memberikan pendedahan kepada filem Asia untuk diiktiraf dan ditayangkan di New York.

Acara itu sudah bermula sejak 29 Jun lalu dan berlangsung sehingga 15 Julai hadapan.

Terdahulu, filem Dukun yang ditunda tayangannya berjaya mengutip RM11 juta selepas ditayangkan di tiga buah negara pada 5 April lalu

Antara pelakon menjayakan filem berkenaan ialah Datin Seri Umie Aida, Faizal Hussein, Namron, Bront Palarae, Hasnul Rahmat, Elyana, Allahyarham Ramli Hassan dan Adlin Aman Ramlie. – Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.