Isu Tutup Tahfiz : Segeralah Bertaubat Tan Sri – Imam Besar Terengganu

KUALA TERENGGANU: Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin digesa segera bertaubat, susulan kenyataannya yang disifatkan melampau apabila mencadangkan kerajaan menutup pusat tahfiz di negara ini.

Imam Besar Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz, berkata kenyataan yang menjatuhkan agama Islam seperti itu tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang bekas pemimpin negara itu.

“Orang seperti ini tidak layak dipanggil sebagai muslim. Beliau perlu berfikir kembali apa yang sudah diungkapkan dan bertaubat. Renung kembali apa yang disuruh oleh Allah (hafaz al-Quran).

“Kita minta jauhlah cadangan itu (tutup pusat tahfiz). Ia tidak sepatutnya keluar daripada mulut orang yang beragama Islam dan kita bimbang ia akan mengundang bala pada negara,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Lajnah Tasheh al-Quran Kementerian Dalam Negeri berkata, jika pusat tahfiz di negara ini ditutup, tidak akan ada lagi kesinambungan penghafaz al-Quran yang sekali gus akan meningkatkan gejala sosial yang sudah dalam keadaan serius sekarang.

“Sebagai umat Islam kita sepatutnya menyokong usaha mewujudkan sekolah tahfiz, malah perlu diperbanyakkan lagi untuk mendidik anak bangsa memahami ajaran agama kerana inilah generasi yang akan mewarisi kepimpinan dan kesinambungan ajaran agama itu.

“Bukan minta ia (pusat tahfiz) dihapuskan. Sudah pasti jika ia ditutup, akan bertambahlah bala dalam negara kita terutama masalah sosial disebabkan kurangnya orang yang memahami al-Quran.

“Kita sepatutnya berterima kasih kepada mereka yang menjaga dan menghafaz kalam Allah ini sebab kerana merekalah kita dapat merasai kenikmatan dan keberkatan hidup di negara ini,” katanya yang juga bekas pelajar pusat tahfiz di Terengganu.

Aizi Saidi berkata, agama Islam patut diletakkan di tempat tertinggi, bukan di tempat terbawah sehingga sewenang-wenangnya menjatuhkan kesucian agama itu.

Beliau turut mancadangkan kerajaan mengambil langkah drastik dalam memartabatkan institusi tahfiz di negara ini, termasuk daripada segi silibus pembelajaran dan kemudahan yang disediakan.

Zainuddin yang juga dikenali sebagai Zam sebelum ini dilaporkan mencadangkan semua sekolah tahfiz ditutup kerana mendakwa ia tidak memberi masa depan kepada generasi baru umat Islam.

Selepas kenyataannya mendapat kritikan orang ramai, Zainuddin mempertahankan diri dengan berkata, saranan itu ialah satu bentuk provokasi untuk mendapat perhatian rakyat dan kerajaan.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.