Sultan Perak pengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Shah (tiga, kiri) mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-249 di Istana Negara hari ini. Turut berangkat Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin (dua, kiri) dan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (dua, kanan). Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (kiri); Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu (tiga, kanan) dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-249 di Istana Negara di sini.

Mesyuarat dua hari bermula hari ini turut dihadiri semua Raja Melayu kecuali Pahang dan Kelantan.

Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, manakala Kelantan diwakili Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Pada hari pertama mesyuarat yang bermula jam 10.30 pagi itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Sabah dan Melaka diiringi Ketua Menteri masing-masing.

Sementara itu, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud diiringi Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dijadual berangkat menghadiri mesyuarat itu, esok. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.