Bung lelaki bertanggungjawab – Zizie

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zizie Ezette, mendedahkan suaminya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, seorang lelaki bertanggungjawab, terutama dalam perkara berkaitan keluarga.

Menjawab soalan peminat menerusi Instagram Story mengenai cara dirinya menguruskan anak-anak memandangkan Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga sibuk, Zizie berkata, Bung memudahkan urusan terbabit dengan mengupah pengasuh bayi.

“Walaupun DSBM (Bung) sibuk, tetapi (dia) tidak pernah melupakan tanggungjawabnya dan memudahkan kerja saya dengan mengupah pengasuh bayi. Saya tidaklah hebat tanpa mereka,” katanya.

Zizie atau nama sebenarnya Zizie Izette Abdul Samad, 39, dan Bung, 58, mendirikan rumah tangga pada 2009. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan anak kembar lelaki, iaitu Aadam Zac Izette dan Aaleph Zeke Izette yang kini berusia sembilan bulan.

Pasangan itu turut mempunyai dua anak angkat, iaitu Naila Nurjenna, 3, dan Aaric Zayn Izette, setahun.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai caranya menguruskan kehidupan peribadi, Zizie berkata, beliau berbuat demikian dengan lebih baik apabila mengambil pendekatan sentiasa berfikiran positif.

“Latih diri anda untuk melihat perkara yang baik dari setiap sudut. Abaikan perkara yang menjadi toksin atau boleh mengganggu ketenteraman jiwa. Sentiasa memaafkan dan ingatlah, kehidupan harus diteruskan,” ujarnya.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.