Cef Naem kahwin pegawai polis

KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, personaliti televisyen, Cef Naem, sah menjadi suami kepada pegawai polis, Nurul Syazwani Zulkaffli, kira-kira jam 5 petang tadi.

Majlis akad nikah berlangsung di kediaman pengantin perempuan di Bahau, Negeri Sembilan.

Pada majlis itu, Naem atau nama sebenarnya Muhammad Naim Ramli menyerahkan wang hantaran berjumlah RM10,000 dan mas kahwin RM200 kepada Nurul Syazwani.

Pihak pengantin lelaki juga menyerahkan sembilan dulang hantaran berbalas tujuh.

“Majlis nikah kami dibuat kecil-kecilan saja, dengan kehadiran kira-kira 200 orang terdiri daripada anggota keluarga dan kenalan rapat.

“Alhamdulillah, saya dinikahkan imam masjid di Bahau. Mungkin sebab selalu berlatih, saya berjaya melafazkan akad sekali saja.

“Lucunya, saya melakukannya dengan agak laju kerana terlalu gementar. Mujurlah tepat dan sah juga,” katanya berseloroh.

Naem dan isterinya mula berkenalan pada awal 2016. Mereka bertunang pada 25 November tahun lalu.

“Kami berkenalan menerusi media sosial. Alhamdulillah, tak sangka ia kekal hingga kami berkahwin,” kata Naem.

Pasangan ini akan diraikan sekali lagi di sebelah keluarga pengantin lelaki pada 16 September depan di ibu kota.

Naem membina reputasi tersendiri selepas memenangi gelaran juara Hero Oven 2016.

Terbaru, dia bakal mengendalikan program Dapur Panas musim baharu di TV3, tidak lama lagi.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.