Empat kamera

Kalau ditanya kepada penguji telefon pintar yang patut berada dalam tangan anda bagi harga bajet, mungkin Huawei Nova 3i jawapan paling sesuai.

Ia berdasarkan telefon peringkat pertengahan dengan jumlah kamera, ROM dan kelajuan yang agak baik bagi kelasnya.

Huawei Nova 3i mempunyai pelbagai ciri yang lengkap untuk merakam foto bagi tujuan sosial. Bermakna Instagram, Facebook mahupun YouTube anda akan penuh dengan gambar atau video yang cantik.

Sejak kehadiran pelbagai model telefon pintar di pasaran, landskap fotografi juga berubah dari semasa ke semasa.

Lihat saja paparan imej yang ditonjolkan menerusi pelbagai platform media sosial, hasilnya cukup mengagumkan.

Kini perspektif fotografi tidak lagi terarah untuk membawa sebuah kamera bersaiz besar terutama jika anda mahu mengembara atau seperti pengalaman penulis, pulang ke kampung ketika musim perayaan baru-baru ini.

Tiada lagi rungutan pengembara kerana perlu memikul beban tambahan hingga mengganggu emosi ketika bercuti.

Adanya era baru dalam fotografi dikenali sebagai fotografi mudah alih yang bukan saja mampu menampilkan kreativiti penghasilan imej, malah ia antara senario baru dalam pengembaraan.

Penguji membiasakan diri dengan Huawei Nova 3i yang mudah dipelajari, memandangkan peranti pintar mudah alih ini mampu menggantikan fungsi kamera biasa.

Hasilnya tidak perlu dipertikaikan kerana menerusi laman sosial seperti Instagram dan Facebook juga boleh dilihat pemilik akaun aktif merakam imej ketika mengembara tentunya mempunyai pengikut yang ramai.

Tanpa kemahiran fotografi profesional dan hanya menggunakan kamera telefon pintar, pelbagai gaya boleh dirakam dan dimuat naik.

Model Nova 3i menjadi telefon pintar pertama Huawei dengan kamera Quad AI yang mempunyai ciri fotografi AI sama seperti telefon utama Mate Siri 10 dan P20 milik Huawei, tetapi turut dilengkapi dengan kamera swafoto.

Menariknya mengenai kamera swafoto itu ialah ia boleh menentukan senario ketika gambar swafoto diambil di samping menyesuaikan ciri wajah dan persekitaran sekeliling yang ditetapkan mengikut pencahayaan dan mod berbeza untuk mendapatkan swafoto pada tahap sempurna.

Kamera belakang Nova 3i boleh mengenal pasti 22 senario dan objek berbeza manakala kamera depan AI swafoto dapat mengenali lapan jenis senario yang berlainan seperti langit, tumbuhan, bunga, pantai, pentas persembahan, malam, salji dan dalaman.

Nova 3i menggunakan dwi-kamera belakang bersaiz 16MP + 2MP manakala kamera depan pula 24MP f/2.0 + 2MP untuk merakam gambar lebih jelas dan pemproses Kirin 710.

Selain itu, penguji menggemari keupayaan merakam gambar yang lebih baik melalui Qmoji.

Avatar emoji 3D boleh dikawal dengan hanya menggunakan wajah seperti Apple Animoji menerusi Nova 3i.

Pengguna juga boleh menghasil dan menyaksikan gambar gerak perlahan terperinci serta jelas melalui rakaman Slow Mo pada format 480fps yang dimiliki siri Nova 3 ini.

Fungsi GPU Turbo yang disediakan menawarkan pengalaman permainan video lebih lancar. Huawei Nova 3i dijual pada harga RM1,249.

HUAWEI NOVA 3i

• PENGELUAR: Huawei

• LAMAN WEB: www.huawei.com/my

• CIRI: Telefon kelas pertengahan

• PRO: ROM besar, 4 kamera

• KONTRA: Aksesori

 

-HMETRO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.