Netizen hairan, semangkuk mi sup daging lebih mahal dari harga seekor lembu

SEBUAH restoran tular kerana menjual mi sup daging lembu yang termahal di dunia.

Restoran Niu Gengtian yang terletak di Shijiazhuang, Wilayah Hebei, China itu menjual hidangan ‘Haozhonghao Beef Noodle Soup’ dan menjadi perhatian warga sosial media selepas gambar menu berserta harganya tular.

Memandangkan harga semangkuk mi sup daging kedua termahal yang dijual di restoran Niu Ba Ba, Taiwan hanya 2,252 yuan , (RM1,343) tidak menghairankan mengapa sup berharga 13,800 yuan (RM8,235) ini menjadi topik hangat.

Media tempatan melawat restoran itu dan meminta pengurusnya dengan nama keluarga, Yan, menjawab persoalan ini tetapi tidak mendapat banyak maklumat.

Lelaki berkenaan memberitahu bahawa makanan istimewa itu disediakan dengan menggunakan 12 bahan yang sangat mahal iaitu empat dari langit, empat dari tanah dan empat dari laut tetapi tidak memberikan poenjelasan lanjut.

Dia juga menyebut bahawa 12 chef diperlukan untuk menyediakan sup itu dan pesanan mesti dibuat sebulan lebih awal supaya semua ramuan yang diperlukan dapat diperolehi.

Sup Haozhonghao telah ditambah dalam menu restoran itu enam bulan lalu dan Yan berkata sejak itu dia telah menjual sebanyak empat mangkuk sup kepada pemilik perniagaan yang kedudukan kewangannya tidak begitu baik.

Sebagai tindak balas kepada tuduhan bahawa dia menipu pelanggan, pengurus itu berkata kos untuk bahan-bahan dan proses memasak begitu tinggi dan dia sebenarnya tidak mendapat banyak keuntungan melalui penjualan sup itu.

Pada mulanya, kebanyakan orang yang melihat foto menu dan harga 13,800 yuan itu menganggap ia adalah jenaka atau satu kesilapan cetakan, tetapi Sin Chew Daily dan media lain yang melawat restoran itu kemudian mengesahkan bahawa harga itu adalah benar.

Netizen mula menjadikan mi sup ini sebagai jenaka apabila harganya lebih mahal daripada seekor lembu, sementara yang lain menuduh pengurusan menggunakannya sebagai gimik untuk mempromosikan restoran.

Ada juga yang memberitahu pihak berkuasa tentang harga sup yang terlalu tinggi, tetapi pegawai di sana mengeluarkan kenyataan bahawa selagi harga dinyatakan dengan jelas kepada pelanggan, ia tidak menyalahi undang-undang, jadi biro itu tidak mempunyai hak untuk campur tangan.-MS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.