Pelatih konstabel disyaki terbabit kes samun, cubaan bunuh

ANGGOTA polis mengiringi seorang anggota geng samun bersenjata (dua dari kanan) untuk dibawa ke Kota Bharu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. – Foto Jannah Kho

KUCHING: Lepas enam minggu ‘lolos’, seorang pelatih konstabel di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Sarawak, Padawan, ditahan hari ini kerana disyaki terbabit dalam kes samun bersenjata dan cubaan bunuh.

Suspek lelaki berusia 20-an itu ditahan kira-kira jam 2.25 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dengan bantuan PULAPOL Kuching.

Menurut sumber, suspek kini menjalani latihan rekrut di PULAPOL pada pengambilan baru-baru ini.

“Maklumat mengenai pembabitan suspek dipercayai diketahui hasil siasatan lanjut Polis Kelantan terhadap kes yang membabitkan suspek.

“Suspek kini dibawa ke Kelantan untuk siasatan lanjut menggunakan pesawat komersial ke Kota Bharu, jam 5.25 petang,” katanya, hari ini.

Lelaki terbabit dipercayai terbabit kes tembak pemilik restoran warga tempatan dan tukang masak warga Thailand menyebabkan mereka parah, 17 Mac lalu.

Kejadian jam 2.30 pagi, mangsa masing-masing berusia 35 tahun dan 40-an itu berada di restorannya di Jalan Kota Bharu – Kuala Krai, Kok Lanas, Kelantan.

Suspek yang berbaju putih dan tangan bergari diiringi polis tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching jam 3.45 petang.

Kata sumber itu, suspek disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Denis Leong Soon Kuai ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.