Rumah tercantik di JB

Johor Bahru: Sebaik kaki melangkah masuk kawasan kediaman pasangan suami isteri di Jalan Kemenyan, Kampung Setanggi di sini, mata disaji dengan kehijauan tanaman yang subur mengelilingi halaman rumah berkenaan.

Kreativiti Rohaya Masalisi, 61, dan suaminya, Embok Daik Ropak, 62, menghiasi lebih 50 pokok hiasan dan bunga di setiap sudut rumah memberikan suasana ketenangan bagi sesiapa saja yang mengunjungi.

Tidak dinafikan, hiasan seperti wakaf dan kolam ikan koi yang dilihat begitu serasi berada di taman mengukuhkan lagi tanggapan pasangan berkenaan sememangnya mencintai alam semula jadi.

Bukan itu saja, pasangan yang mendiami rumah itu sejak 40 tahun lalu turut memanfaat kawasan rumah berkeluasan 371.61 meter persegi itu dengan membela lebih 20 ikan koi dan tujuh burung merbuk selain menempatkan ruang rehat untuk santai petang.

ROHAYA dan suaminya, Embok Daik di kediaman mereka.

Kesungguhan pasangan itu menghiasi sekeliling rumah mereka juga membolehkan rumah itu menjuarai Pertandingan Landskap Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sebanyak empat kali pada 2013, 2014, 2015 dan 2017.

Rohaya berkata, hobi yang pada mulanya sekadar mengisi masa lapang bersama suami bertukar menjadi komitmen bagi memastikan kawasan rumahnya seindah luas mata memandang.

“Saya masih ingat pokok pinang merah adalah pokok hiasan pertama yang menimbulkan minat kami berdua menanam pokok. Ketika itu, harga anak pokok yang dijual sangat murah iaitu RM2.

“Berbeza dengan pasangan lain, kami lebih gemar menghabiskan masa di nurseri berbanding pusat beli-belah.

“Ada saja masa terluang, kami bersama-sama ke nurseri dan menambah ‘koleksi’ pokok,” katanya.

Menurutnya, hari ini cara penjagaan pokok boleh dipelajari menerusi Internet tidak seperti dulu.

“Orang lama seperti kami lebih selesa melihat dan memegang sendiri pokok di kedai bunga di samping mempelajari baja bersesuaian, jenis pokok mahupun kaedah menjaganya dengan pemilik kedai itu sendiri.

“Minat yang mendalam membuatkan kami sanggup cari merata nurseri mahupun pasar lambak yang menjual pokok diingini…seperti di Batu Pahat, Muar, Kota Tinggi dan paling jauh pernah kami pergi ke Selangor,” katanya yang mempunyai empat cahaya mata berusia 34 hingga 39 tahun.

PEMANDANGAN dalaman rumah milik Rohaya.

Rohaya yang juga suri rumah sepenuh masa berkata, sehingga kini, lebih 30 orkid ditanam di rumahnya selain pokok hiasan seperti bonsai, keladi, pokok keris, gelombang cinta, draco dan tanduk rusa.

“Seronok melihat anak lelaki bongsu saya mewarisi minat sama. Walaupun dia sudah berumah tangga dan ada kediaman sendiri, kadang-kala kami bertukar pokok di samping suami juga mengajar teknik penjagaan pokok supaya nampak cantik, menghijau dan subur.

“Selain menggunakan baja organik dalam penanaman, racun serangga yang digunakan adalah racun semula jadi. Tiada rahsia untuk mendapatkan hasil tanaman yang sihat dan berkualiti melainkan kita menjaganya dengan sepenuh hati.

“Rajin ‘berbual’ dengan pokok setiap kali selepas solat Subuh, di samping membelek, menyiram, membaja dan menyemburnya dua atau tiga hari sekali memastikan pokok itu membesar dan selesa.

“Sama seperti manusia, kalau dijaga elok, apabila dah menjadi…seronok dapat tengok,” katanya.

Sementara itu, Embok Daik yang pernah bekerja di MBJB sebelum bersara pada 2009 berkata, ketika awal menanam pokok bunga, mereka turut berdepan dengan tanaman yang mati.

“Sebelum ini banyak juga tanaman tidak menjadi, pokok rosak. Kami pernah beli pokok bonsai yang ketika itu berharga RM1,800 dan ia mati.

“Oleh kerana hobi, kami cari juga yang baharu dan belajar lagi cara mahu menjaganya. Kami tidak pernah berputus asa.

“Kami tidak pernah terfikir memasuki mana-mana pertandingan kerana apa yang kami lakukan ini hanyalah sekadar hobi. Apabila diumumkan menang, duit itu tidak ke mana, ia digunakan untuk membeli baja dan melabur semula untuk membeli pokok baharu,” katanya.

Kini, pasangan berkenaan lebih banyak menghabiskan masa di rumah bersama selain perniagaan cendol iaitu Md Zain Cendol yang beroperasi sejak 2007 yang diusahakan anak dan menantunya.- HMETRO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.