‘Siapa suruh langgar MPV’

KERETA peronda polis (MPV) remuk di bahagian kiri hadapan selepas dirempuh seorang penunggang motosikal yang cuba melarikan diri dari sekatan pemeriksaan polis dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Suka Menanti. – Foto Zuliaty Zulkiffli

ALOR SETAR: Seorang penunggang motosikal cedera selepas dia merempuh kereta peronda polis (MPV) ketika cuba melarikan diri dari sekatan di Jalan Suka Menanti, di sini, petang semalam.

Dalam Ops Samseng Jalanan bermula jam 4 petang hingga 8 malam itu, penunggang lelaki berusia 20-an itu terpaksa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun, anggota polis yang berada di dalam MPV tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala kenderaan polis itu mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapannya.

Pegawai Turus Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Kedah, Asisten Superintendan Meor Amir Meor Md Khalil berkata, pihaknya mengadakan operasi di kawasan berkenaan selepas menerima banyak aduan berkaitan kegiatan lumba haram.

Beliau berkata, operasi turut membabitkan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Dalam operasi itu sebanyak 148 saman dikeluarkan di bawah POL.257 yang membabitkan 161 kesalahan.

“Antara kesalahan yang dilakukan adalah tiada lesen memandu (13), menunggang bawah umur (2), kesalahan nombor pendaftaran (42), mengubahsuai kenderaan (46), cukai jalan tamat tempoh (6), tiada insuran (5), cermin sisi (25) dan Lesen ‘L’ dan ‘P’ (2),” katanya ketika ditemui di lokasi.

Meor Amir berkata, daripada jumlah itu sebanyak 155 diperiksa dan daripada jumlah itu, hanya 148 motosikal disaman manakala 157 individu diperiksa dalam operasi itu.

Beliau berkata, sebanyak 11 motosikal disita kerana melakukan pelbagai kesalahan dan 13 individu pula diarah menjalani ujian saringan awal air kencing.

“Daripada jumlah itu, tiga daripadanya yang berusia antara 18 hingga 20 tahun ditahan AADK selepas didapati mereka positif mengambil dadah jenis syabu dan ganja.

“Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983,” katanya.

Meor Amir berkata, operasi turut disertai Timbalan Pengarah Kanan Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Kedah, Nasru’d-din Abdul Rahman.

Sehubungan itu katanya, beliau menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi anak mereka bagi mengelakkan terjebak dengan kegiatan lumba haram.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.