Pandangan 6 bomba ditutup? Pakar dakwa “dah tangkap, soal, belasah cukup-cukup ketua jin dan geng”

Sa’ad Jaafar (kiri) dan rakannya, Mohd Azim Adam mendakwa insiden kematian enam anggota bomba pada minggu lalu berpunca daripada gangguan jin di lokasi kejadian.

PETALING JAYA: Insiden melibatkan enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang terkorban pada minggu lalu ternyata mengejutkan banyak pihak.

Selain komen simpati dan ucapan takziah, tidak kurang juga segelintir individu yang tergamak mempertikai keupayaan Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) dalam kejadian berkenaan.

Turut menarik perhatian ialah kenyataan sebuah laman Facebook yang mendakwa tragedi itu berpunca daripada gangguan jin di lombong tersebut.

Bagi mendapatkan kepastian, mStar Online menghubungi pengendali laman Facebook Rawatan Ilahana bagi merungkai dakwaan berkenaan.

Menggelarkan dirinya sebagai pakar tangkap jin, Sa’ad Jaafar, 45, berkata, dia berasa pelik sebaik sahaja membaca berita mengenai kematian enam anggota bomba ketika melakukan usaha menyelamat.

 

Paparan skrin kenyataan di laman Facebook Rawatan Ilahana yang mencetuskan pelbagai reaksi netizen.

“Setelah terbaca berita dalam talian mengenai insiden itu, saya berasa pelik sebab enam orang anggota mati lemas sekali gus.

“Apa yang saya tahu mereka memang mempunyai kepakaran berenang dan menyelam, saya rasa macam ada yang tak kena dengan mereka.

“Malam itu kami duduk berzikir dan fokus mencari apa-apa gangguan yang menjadi penyebab insiden itu,” ujarnya pada Rabu.

Sa’ad mendakwa pihaknya berjaya mengesan jin tersebut sebelum menangkap ketua dan ahli-ahlinya pada malam itu sebelum mereka disimpan dalam satu ‘penjara khas’ yang berada di alam ghaib.

Tambahnya lagi, dia turut menyoal jin yang ditangkap bagi mengetahui apa sebenarnya yang berlaku ke atas enam anggota berkenaan.

“Selepas tangkap ketua jin dan semua geng mereka, kami ikat, buang ilmu yang ada pada jin-jin itu kerana kalau ilmu itu tak dibuang, mereka boleh hilangkan diri dan lari.

“Kami ‘belasah’ cukup-cukup ketua jin itu hingga ia tak bermaya dan selepas itu kami buat soal siasat. Saya tanya apa yang mereka lakukan pada anggota yang terkorban.

“Jin itu berkata, mereka menutup pandangan mata enam anggota tersebut sehingga tidak dapat melihat sebelum dibawa ke pusaran air dan lemas,” dakwa Saad lagi.

Dalam pada itu, Sa’ad berkata setiap manusia juga mempunyai jin mereka tersendiri.

Malah dakwanya, gangguan jin tidak boleh dielak melainkan mereka ditangkap dan diusir seperti mana yang dilakukan oleh perawat-perawat lain.

“Jin ada di mana-mana, semua orang pun ada jin yang ganggu. Jin tapak rumah, jin saka keturunan, memang banyak.

“Jadi cara paling baik ialah jin itu perlu ditangkap dan dikurung di penjara khas, barulah selesai masalah.

“Bagi yang dah tak ada jin ganggu, untuk elakkan diganggu yang lain pula, kena dekatkan diri pada Allah dan tinggalkan apa yang dilarang agama,” jelasnya.

Mengulas mengenai tangkapan jin melibatkan kes bomba tempoh hari, Sa’ad berkata, dia dan seorang lagi rakannya, Mohd Azim Adam, 47,  melakukannya dengan seikhlas hati sahaja.

Bagi rawatan persendirian, dia biasanya mengenakan bayaran sekitar RM200 ataupun dengan bayaran yang termampu sahaja bagi mana-mana individu.

Enam anggota bomba terkorban dalam insiden pada minggu lalu.

Berhubung respon berbelah-bahagi mengenai dakwaannya di laman Facebook, Sa’ad mengakui tidak terkesan kerana faham masyarakat di negara ini yang pada pandangannya, kurang ilmu mengenai alam ghaib.

“Biasalah masyarakat kita. Tak ada ilmu tapi nak condemn yang bukan bidang mereka.

Pada 3 Oktober lalu, enam anggota PPDA JBPM mati lemas ketika cuba menyelamatkan seorang remaja yang terjatuh di lombong di Taman Putra Perdana, Serdang.

Mayat remaja berkenan pula ditemui sehari selepas itu kira-kira 800 meter dari lokasi dia terjatuh.

Enam anggota bomba yang terkorban adalah Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuan Klang, manakala dua lagi, Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam.-MS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.