Land Rover Terbabas, Tujuh Anggota Polis Cedera

KUALA LUMPUR: Tujuh anggota polis termasuk enam wanita cedera selepas kenderaan Land Rover yang mereka naiki terbabas di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ibu negara di sini, Isnin.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, kenderaan itu yang dinaiki anggota berusia 20-an hingga 30-an dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul adalah dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk menjalani latihan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata kenderaan berkenaan dipercayai mengalami masalah teknikal sebelum terbabas ke bahu kiri jalan.

“Kesemua mereka mengalami kecederaan ringan dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebagai pesakit luar,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) berkata pihaknya menerima panggilan  kecemasan pukul 8.35 pagi dan ambulans diarahkan ke lokasi kejadian.

“Anggota APM kemudian membawa kesemua mangsa ke HKL untuk mendapatkan rawatan,” katanya. -Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.