Polis Tutup Kes Dua Beradik ‘Dilarikan’ Ibu

KUALA LUMPUR: Kes dua beradik yang diambil oleh ibu kandung mereka adalah hal keluarga yang sepatutnya dirujuk kepada pihak berkaitan.

Ini kerana siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kes terbabit dan meminta orang ramai menghentikan sebarang spekulasi berhubung perkara itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata siasatan polis mendapati dua kanak-kanak terbabit bukan dilarikan, sebaliknya diambil oleh ibu kandung mereka dari tadika berkenaan pada hari kejadian.

“Bagaimanapun, kita minta ibu kandung dua kanak-kanak itu tampil memberi penjelasan kepada umum untuk menjernihkan keadaan.

“Isu kekeluargaan ini sewajarnya dirujuk kepada pihak berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, dua beradik terbabit dikatakan dilarikan tiga individu tidak dikenali, termasuk seorang wanita dari sebuah tadika di Seksyen 16, Shah Alam, Khamis lalu.

Kehilangan Raheel Khan, 6, dan adiknya, Aleya Reyhana, 4, disedari oleh ibu saudara mereka ketika dia ke tadika itu untuk mengambil mereka pulang.

Namun, dia dimaklumkan oleh guru tadika ada seorang wanita datang mengambil adik-beradik berkenaan kira-kira jam 9 pagi atas alasan ingin membawa mereka untuk pemeriksaan kesihatan.

Wanita itu datang bersama dua lagi lelaki yang menunggu di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) dan memberitahu guru tadika akan membawa pulang dua beradik berkenaan dalam masa sejam.

Susulan kejadian itu, keluarga dua kanak-kanak terbabit membuat dua laporan polis di Balai Polis Damansara pada hari sama.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.