Azalina Tanding MT, Cadang Tubuh Institut Kajian Politik

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menawarkan diri bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno pada pemilihan parti kali ini.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, perubahan demografik lanskap politik hari ini memerlukan kerja keras dari semua peringkat bagi mengembalikan dan membina semula parti keramat Umno.

Jelasnya, kealpaan dalam menilai suara akar umbi pada pilihan raya umum yang lalu memberi natijah yang besar kepada parti.

“Namun saya percaya, rata-rata ahli Umno masih setia dan mengharap perubahan drastik berlaku dalam parti ini. Justeru, saya dengan penuh rasa tanggungjawab menawarkan diri sebagai calon Ahli Majlis Tertinggi Umno dalam pemilihan sesi 2018-2021.

“Saya akan memastikan suara akar umbi menjadi formula penting dalam setiap tindakan dan keputusan dalam parti. Umno perlu bertindak sebagai saluran kepada suara akar umbi bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa diperjuangkan dan dibela.

“Umno kini sebagai pembangkang, perlu menggalas tugas itu dengan menjadi pembangkang yang kuat dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Azalina berkata, dalam mendepani cabaran hari ini, Umno perlu menunjukkan kematangan politik agar dihormati ‘kawan dan lawan’.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan sebuah Institut Kajian Politik ditubuhkan bagi membantu Umno dalam memperhalusi isu-isu semasa rakyat khususnya yang menyentuh masyarakat Melayu.

“Saya percaya pemilihan kali ini mampu menjadi pemulaan yang baik kepada perubahan Umno yang lebih gemilang,” katanya.-MS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.