Biar aku cerita ke seluruh dunia…

IBARAT gunung berapi yang baru meletus, pelakon Nabila Huda Shuhaimi, 34, meluahkan perasaan di akaun Instagram miliknya yang agak mengejutkan peminat hiburan tempatan, semalam.

Pelakon dikenali dengan panggilan Abil dalam kalangan peminat, dipercayai menuju luahan itu kepada seorang individu yang sangat rapat dengan bapanya, penyanyi legenda, Amy Search, 60.

Dia juga dipercayai sudah lama memendam perasaan dan berasakan sudah tiba masa membuka segala pekung di dada selepas individu itu didakwa sengaja ingin cari pasal dan tidak henti mengaibkan dirinya sejak beberapa tahun lalu.

Dalam luahan itu, Abil turut melabelkan individu itu sebagai perosak keluarganya sejak beberapa tahun lalu.

“Aku sudah lama simpan perangai kau, macam mana kau seksa hidup aku dari aku muda sampai sekarang.

“Memandangkan kau mahu bermain kasar, biar aku cerita ke seluruh dunia betapa ‘manis’ perangai kau,” tulis Abil lagi.

Dia mendakwa individu itu bukan saja sering cuba menjauhkan dirinya daripada bapa sendiri malah pernah cuba menjauhkan dirinya daripada anaknya sendiri, Keisha Laila.

Abil turut meluahkan sambutan Syawal kali ini adalah tahun ketiga tidak dapat berhari raya dengan bapanya walaupun sangat merinduinya disebabkan isu yang melanda.

Harian Metro berusaha untuk menghubungi Abil bagi mendapatkan kenyataan mengenai isu yang dibangkitkan, namun gagal.

Malah usaha menghubungi ibu tirinya, isteri Amy Search, Norhasniza Hasnan, individu yang dipercayai dikaitkan dengan isu ini juga tidak dapat dihubungi.

Imbas kembali, hubungan mereka dipercayai sudah lama dingin sedari beberapa tahun lalu dan pernah dilihat sering berbalas kenyataan di media sosial, sebelum ini. – METRO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.