CAP Cadang Pinda Akta Mercun

MOHAMED Idris menunjukkan mercun dan bunga api yang berbahaya dan menghasilkan letupan kuat yang mudah dibeli di pasaran. – Foto Zuhainy Zulkifli

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Kastam dan Eksais Diraja serta polis supaya memperhebat usaha membanteras kegiatan penyeludupan termasuk penjualan bunga api dan mercun yang berleluasa di negara ini.

Pelanggaran undang-undang sedia ada bagi mencegah penyeludupan, pengedaran serta penjualan mercun dan bunga api secara terbuka juga jelas tidak dipandang serius oleh pesalah.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata sejak lebih dua dekad lalu, CAP sudah mendesak pihak berkuasa supaya mengenakan hukuman yang lebih berat ke atas pesalah, termasuk penjara.

Katanya, jika penguatkuasaan dipertingkatkan, penyeludupan barangan itu boleh dibendung manakala pengeluaran keluar wang negara juga boleh disekat.

“CAP mencadangkan supaya undang-undang dipinda dengan mengenakan hukuman penjara mandatori bagi penyeludup termasuk merampas aset miliknya.

“Selain itu kenderaan yang mengangkut mercun dan bunga api juga perlu disita dan dilelong tabung negara,” katanya dalam sidang media di Pejabat CAP, hari ini.

Selain mengeluarkan bunyi bising, Mohamed Idris berkata mercun dan bunga api juga berpotensi menyebabkan kebakaran hingga merosakkan harta benda dan kehilangan nyawa.

Kini, mercun bukan sahaja dibakar ketika menyambut perayaan tetapi turut dimainkan ketika mengusung jenazah, perkahwinan dan sambutan hari lahir.

“Keghairahan orang ramai bermain bunga api dan mercun secara terbuka juga jelas menunjukkan pihak polis tidak berupaya menghalangnya.

“Bermain mercun dan bunga api hanya membakar wang hasil titik peluh cuma dalam masa beberapa minit sahaja,” katanya lagi.

Di bawah Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957, sesiapa yang mengeluar, memiliki atau mengimport mercun dan bunga api boleh dijatuhi hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun penjara atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Mei lalu, pegawai penguatkuasa Kastam Kelantan telah menyita mercun dan bunga api bernilai RM151, 160 dan menahan pemandu lori berhubung kes terbabit.

Dalam kes berkenaan, jika penyeludupan berjaya dilakukan, mereka yang membeli bahan letupan itu akan didakwa melanggar Akta Bahan Letupan 1957 dan pihak Kastam akan mengalami kerugian sebanyak RM98, 254 dalam bentuk cukai.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.