Juala Songket Merosot Berbanding Ramadan Tahun Lalu

KUALA TERENGGANU: Tidak seperti kelengkapan raya lain yang mendapat sambutan mengalakkan menjelang Hari Raya, songket Terengganu yang biasanya digunakan bersama baju Melayu mengalami kejatuhan jualan agak teruk pada Ramadan kali ini berbanding tahun lepas.

Pengusaha songket tradisional Terengganu, Norizai Ismail, 51, berkata, sambutan terhadap songket tempatan itu menurun agak ketara pada Ramadan kali ini berbanding tahun lepas.

“Saya tidak tahu di mana silapnya yang menyebabkan jualan songket Terengganu merudum, malah tempahan juga berkurang berbanding Ramadan tahun lepas.

“Biasanya pengusaha tenunan songket menerima banyak tempahan sebulan sebelum puasa tetapi pada tahun ini tempahan yang diterima berkurangan malah ada yang tidak menerima tempahan langsung.

“Paling menyedihkan, songket siap yang dijual di kedai juga kurang sambutan sekaligus menyebabkan peniaga merungut dan tidak berani untuk mengambil risiko membeli songket siap daripada tukang tenun,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Baru, hari ini.

Norizai berkata, jualan songket juga terjejas akibat lambakan songket tiruan di pasaran dan dijual dengan harga yang murah.

“Isu songket tiruan sudah lama diketengahkan namun sehingga hari ini tiada usaha yang dijalankan pihak bertanggungjawab untuk menanggani masalah itu seterusnya mengancam industri songket tempatan.

“Songket tiruan yang dijual dengan harga yang jauh lebih murah menyebabkan ia menjadi pilihan pelanggan dan akhirnya songket Terengganu tidak terjual di pasaran,” katanya.

Tambahnya, biarpun songket Terengganu berharga RM300 hingga RM6,000 sehelai, namun kualitinya terjamin berbanding songket tiruan yang dijual dengan harga serendah RM50 hingga RM250 sehelai.

“Sebagai pengusaha songket Terengganu, saya bimbang sekiranya isu songket tiruan itu tidak ditangani segera kebarangkalian besar industri tenunan songket tempatan akan pupus pada masa akan datang.

“Bahang kemerosotan sambutan terhadap songket Terengganu kian terasa apabila saya hanya mampu menjual tiga helai songket pada Ramadan kali ini berbanding pada tahun lalu sebanyak 10 helai songket,” katanya.

Norizai berkata, dia berharap pihak yang bertanggungjawan dapat meneruskan usaha mempromosikan songket tempatan supaya industri tradisional itu kekal dijalankan di negeri ini selain menangani masalah songket tiruan.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.