Kepada Pemimpin UMNO, Berjiwa Besarlah Untuk Memohon Maaf – Qobin

KUALA LUMPUR: Calon EXCO Pemuda UMNO 2018-2021, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menyarankan pemimpin agar berani berkata benar dan memastikan perjuangan parti kembali ke landasan sebenar.

Muhamad Muqharabbin atau Qobin yang juga penjelajah Grand Slam pertama negara berkata, setiap peringkat kepemimpinan harus kembali kepada asas perjuangan UMNO terdahulu yang mempertahankan hak orang Melayu tanpa menidakkan keistimewaan bangsa lain.

Katanya, dahulu rakyat dan bangsa lain sayang kepada UMNO kerana sifat pemimpin yang rendah hati, tidak berkata buruk serta fokus kepada perjuangan membangun negara tanpa meminggirkan rakyat dan bangsa lainnya.

“Kita juga harus berani memohon maaf kepada rakyat atas tingkah laku sebahagian pemimpin terdahulu yang dilihat sentiasa memperlekehkan rakyat dengan mengeluarkan kenyataan menyakitkan hati.

“Berubahlah, sebelum rebah. Saya yakin rakyat masih sayangkan UMNO. Orang kampung dan bandar juga masih boleh terima UMNO, tetapi perlukan pemimpin baharu yang baik akhlak dan jauh daripada masalah yang boleh memburukkan UMNO.

“Kita kena akui, zaman teknologi dan media sosial yang pantas, begitu banyak ayat yang baik, namun selalu disalah tafsir oleh rakyat dan dijadikan modal untuk menjatuhkan Barisan Nasional,” katanya di sini, hari ini.

Qobin berkata, beliau selaku Ketua Pemuda UMNO Cawangan Jalan Universiti Lembah Pantai, berkata walaupun berjawatan kecil, beliau secara peribadi memohon maaf atas segala yang berlaku sehingga membuat rakyat menyampah.

“Kalau yang di atas tidak mahu memohon maaf, biarlah saya mohon maaf. Sebab dengan Allah pun kita selalu berbuat salah dan dosa. Tidak perlu malu.

“Bagi saya, tiada parti yang sempurna termasuk Pakatan Harapan. Sekarang kita jangan melatah dengan janji mereka kepada rakyat.

“Biar rakyat yang menilai. Kita fokus parti kita, kita perbaiki, kita buat kerja untuk rakyat, kita selami permintaan mereka dan bangun bersama-sama mendepani revolusi UMNO yang disegani kembali suatu hari nanti,” katanya.

Qobin menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai dan Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Malaysia bagi penggal 2018-2021.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.