Lebih 2 Juta Dijangka Balik Sebelum Raya

SUNGAI BULOH: Lebih dua juta pengguna dijangka memulakan perjalanan menuju ke kampung halaman masing-masing dua hari sebelum menjelang Aidilfitri.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Rosli Isa, berkata pengguna jalan raya perlu bersedia dan merancang perjalanan pulang ke kampung mereka bagi mengelak kesesakan teruk.

“Kebanyakan dijangka pulang ke kampung halaman dua hari sebelum raya kerana mahu menikmati diskaun 50 peratus bagi bayaran tol seperti yang diumumkan kerajaan, baru-baru ini.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan bersedia untuk berdepan kesesakan teruk yang dijangka berlaku. Contohnya, tempoh perjalanan ke Taiping, Perak hanya memerlukan masa empat jam pada waktu biasa, namun tempoh masa akan meningkat hingga dua kali ganda iaitu lapan jam untuk ke lokasi berkenaan pada dua hari sebelum raya.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Datuk Rosli Isa (tengah) melekatkan tanda amaran ‘Focus, No Phone’ di Kempen Keselamatan Jalan Raya dan OPS Bersepadu di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Sungai Buloh. – Foto Zunnur Al Shafiq

“Bagaimanapun, kami turut menjangkakan lalu lintas mungkin lebih lancar berikutan ada yang sudah balik ke kampung masing-masing memandangkan cuti sekolah bermula minggu lalu,” katanya pada sidang media di Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Op Bersepadu di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Sungai Buloh menghala utara, di sini, semalam.

Rosli juga menasihatkan pemandu supaya mengelak daripada gejala ‘microsleep’ yang menjadi faktor utama menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

“Microsleep biasanya berlaku ketika pemanduan di jalan lurus atau sejam selepas makan. Pemandu atau penunggang motosikal mungkin tidak sedar antara dua hingga 30 saat yang boleh menyebabkan mereka terbabas atau melanggar kenderaan lain.

“Sekiranya berlaku gejala itu, pemandu atau penunggang dinasihatkan supaya tidak meneruskan pemanduan. Ambil masa untuk beristirehat atau meminta individu lain memandu bagi mengelak berlaku kemalangan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.