‘Sampai masa saya kongsi’

KUALA LUMPUR: Pelakon yang popular menerusi drama Mr Grey, Fendy Bakry mengakui, sudah tidak sabar meneruskan semula kerjaya lakonannya dan berharap dapat kembali ke lokasi penggambaran secepat mungkin.

Fendy atau nama lengkapnya, Mohd Affandi Nor Bakri, 29, berkata, dia masih menanti masa yang sesuai untuk meneruskan kembali minatnya itu dan akan memaklumkan perkembangan terbaru apabila semuanya sudah pasti.

“Terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong dan mendoakan saya. Begitu juga kepada pihak media yang sentiasa bertanya perkembangan diri. Saya minta maaf kerana tidak dapat menjawab pertanyaan ramai sebelum ini.

“Maaf, saya masih belum bersedia untuk bercerita lebih mendalam mengenai masalah kesihatan saya. Apa yang dapat saya katakan, kesihatan saya bertambah baik. Insya-Allah, sampai masa nanti saya akan kongsi,” katanya.

Fendy sebelum ini, terpaksa memperlahankan langkah ketika namanya sedang menjadi sebutan apabila dikatakan menghidap sakit misteri sejak April lalu.

Sejak itu, pelbagai spekulasi mengenai keadaan kesihatannya tercetus dan pelakon kelahiran Perlis itu pernah dikatakan koma, namun dinafikan pengurusannya, Prokuya Studios.

Mengulas populariti mendadak yang diraihnya menerusi drama yang menggandingkannya dengan Eyra Hazali, Fendy berkata, pencapaian itu adalah sesuatu yang di luar jangkaan.

“Saya seronok bekerja dengan produksi drama ini. Semua pihak memberikan kerjasama yang baik. Penerimaan positif penonton sedikit sebanyak membakar semangat saya untuk terus memperbaiki mutu lakonan.

“Saya tidak sangka drama ini akan mendapat sambutan hebat. Tanpa sokongan semua, termasuk pengurusan yang sentiasa ada bersama ketika susah dan senang, sukar untuk saya mencapai tahap ini,” katanya.

Mengenai sambutan hari raya, Fendy yang akan meraikan 1 Syawal di kampung halamannya berkata, dia hanya membuat persiapan sederhana.

“Semuanya serba sederhana memandangkan tidak semua adik-beradik bercuti serentak. Insya-Allah, jika ada kelapangan, saya mungkin akan mengadakan rumah terbuka untuk peminat,” katanya – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.