Semua Negara Bebas Guna Selat Melaka

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Jepun bersetuju untuk memastikan Selat Melaka dan Laut China Selatan bebas digunakan bagi tujuan pelayaran oleh semua negara.

Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe berkata (rantau) Indo-Pasifik, termasuk Laut China Selatan, perlu bebas dan terbuka berlandaskan kedaulatan undang-undang serta dipelihara sebagai laluan awam global untuk keamanan dan kemakmuran serantau.

“Jepun sedia bekerjasama dengan mana-mana jua negara dalam menyokong konsep ini bersama-sama Malaysia. Saya berazam untuk meningkatkan lagi kerjasama demi keamanan dan kestabilan serantau, termasuk di kawasan keselamatan maritim,” katanya pada sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sedang berada di Tokyo kerana melakukan lawatan kerja ke Jepun.

Sidang akhbar itu disiarkan secara langsung melalui saluran televisyen kebangsaan dan media sosial.

Dr Mahathir melakukan lawatan kerja tiga hari ke negara itu, yang merupakan lawatan sulung beliau ke luar negara sejak menjadi perdana perdana menteri ketujuh Malaysia berikutan kemenangan mengagumkan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum 9 Mei.

Pada sidang akhbar bersama itu, Dr Mahathir berkata: “Kami sependapat bahawa kami perlu memastikan Selat Melaka dan Laut China Selatan bebas untuk digunakan bagi tujuan pelayaran oleh semua negara.”

Selepas majlis itu, Abe menghadiahkan kepada Dr Mahathir sehelai jersi pasukan Piala Dunia Jepun yang tertera padanya nama Dr Mahathir dan angka 7 sebagai simbol beliau merupakan perdana menteri ketujuh Malaysia.

Abe berkata hadiah itu juga melambangkan harapan agar hubungan persahabatan antara kedua-dua negara akan bertambah kukuh.

Dr Mahathir pula menghadiahkan kepada Abe sebuah buku tentang diri beliau sambil menzahirkan harapan agar buku itu akn membolehkan Abe lebih mengenali beliau. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.